TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis gempur 395 premis judi haram, tahan 328 individu dalam tempoh 2 hari

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur kegiatan perjudian haram di seluruh negara menerusi Op Dadu Mega yang dijalankan pada 30 dan 31 Ogos lalu, sekali gus menahan 328 individu serta menyita pelbagai peralatan perjudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu itu melibatkan pemeriksaan ke atas 395 premis di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati 272 premis menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen, dengan 245 premis terbabit penjualan loteri awam tidak berlesen dan 20 premis menawarkan perjudian dalam talian.

“Selain itu, lima premis hiburan keluarga beroperasi tanpa lesen manakala dua premis dikenal pasti sebagai pusat perjudian calling centre,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, daripada 328 individu yang ditahan, seramai 286 adalah lelaki dan 42 wanita yang terdiri daripada pemilik, penjaga premis, pekerja serta pemain.

“Daripada jumlah itu, 258 adalah warga tempatan manakala 70 lagi warga asing. Turut dirampas wang tunai, komputer, telefon bimbit, mesin perjudian dan pelbagai peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan tersebut,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Menurut Kumar, siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4A(a), Seksyen 9(1), Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Hiburan dan Ordinan Hiburan Negeri,” katanya.

Beliau menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk perjudian haram kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat dan ekonomi negara.

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan perjudian tanpa lesen dapat dibanteras sepenuhnya.

“Kami juga menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung aktiviti perjudian haram bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera,” katanya.

+ - reset