TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tahan lelaki lepaskan tembakan ke udara semasa upacara sembahyang di kuil di Bestari Jaya

By
|
Kongsi
image

 

KUALA SELANGOR 2 Sept – Polis menahan seorang lelaki selepas tindakannya melepaskan beberapa das tembakan ke udara ketika upacara sembahyang tahunan di sebuah kuil di Ladang Bukit Badong, Bestari Jaya, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, suspek berusia 55 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di Petaling Jaya pada jam 8 malam Isnin.

“Suspek kini direman selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Menurut beliau, polis menerima laporan pada jam 3.50 petang Isnin selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati insiden berlaku sekitar jam 11.30 pagi ketika berlangsungnya upacara sembahyang tahunan di kuil tersebut,” jelasnya.

Azaharudin menegaskan, siasatan masih dijalankan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

“Orang awam boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berhampiran,” katanya.

 

+ - reset