TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

37 akaun bank bernilai RM17.5 juta dibeku, pegawai kanan DBKL antara ditahan - Azam Baki

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 9 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 37 akaun bank dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM17.5 juta susulan penahanan empat individu, termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergred Jusa B.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata daripada jumlah itu, 11 akaun adalah peribadi, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham.

“SPRM turut merampas wang tunai bernilai RM1.15 juta, €12,300 dan S$24,280, selain dua kereta mewah bernilai RM650,000, serta koleksi beg tangan dan kasut berjenama dianggarkan bernilai RM100,000.

“Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 16 individu termasuk empat yang ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pegawai kanan DBKL terbabit pertama kali direman pada 26 Ogos lalu berhubung siasatan pembelian beberapa hartanah.

Menurut Azam, pegawai berkenaan merupakan salah seorang pengarah tertinggi di bawah pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur, dan siasatan turut memfokuskan kepada pembelian hartanah termasuk sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya.

Difahamkan, kegiatan rasuah itu dipercayai berlaku sejak 2014.

Siasatan awal juga mengesyaki seorang pemilik syarikat memberi rasuah kepada pegawai DBKL terbabit sebagai habuan untuk mendapatkan projek di agensi berkenaan.

+ - reset