TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bapa sujud syukur, 8 anak akhirnya dapat sijil lahir, boleh bersekolah

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 9 Sept – Suasana penuh emosi menyelubungi pentas apabila seorang bapa kepada 10 beradik di Kampung Parit Lapis Hasan, Simpang Renggam, melakukan sujud syukur selepas lapan anaknya akhirnya menerima sijil kelahiran hasil bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut laporan Sinar Harian, anak-anak berusia antara dua hingga 14 tahun itu sebelum ini tidak pernah didaftarkan kelahiran akibat pelbagai kekangan termasuk kerap berpindah.

Penyerahan sijil kelahiran disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Raja Azlal Raja Azman, kepada pasangan Zainal Abidin Miskan, 51, dan isterinya, Jannatul Naimah Rohani, 36.

Zainal yang bekerja kampung menzahirkan rasa lega kerana selepas semua anaknya memiliki sijil kelahiran, mereka kini berpeluang bersekolah serta mengubah nasib keluarga.

“Hari ini, anak-anak dapat sijil kelahiran, saya amat bersyukur, hilang satu beban kami. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk ketua kampung dan agensi kerajaan.

"Walaupun kami susah, biarlah anak-anak sekolah, kerana ilmu boleh ubah kehidupan kami,” katanya ketika ditemui selepas Program Menyemai Kasih Rakyat Mekar Madani di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Johor Bahru, pada Selasa.

Sementara itu, Raja Azlal berkata, program Mekar yang dimulakan sejak 2020 bertujuan memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan memiliki dokumen pengenalan diri.

“Masih ada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, Orang Asli, OKU dan orang sakit, yang belum memiliki dokumen. Jadi JPN turun padang ke kampung dan kawasan terpencil bagi memastikan mereka mendapat hak sebagai warganegara,” jelasnya.

 

+ - reset