TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Keputusan representasi CEO GISBH dan 21 pemimpin tertinggi ditetapkan 30 Oktober

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG 9 Sept. – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh keputusan representasi dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 pemimpin tertinggi syarikat itu yang berdepan pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar yang bersidang di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun memaklumkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi yang telah dikemukakan.

Peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin, ketika ditemui selepas prosiding berkata pihaknya memohon agar AGC menilai semula pertuduhan terhadap kesemua tertuduh, termasuk cadangan supaya seksyen pertuduhan ditukar kepada peruntukan dengan hukuman lebih ringan.

“Kami telah menghantar representasi sejak Mei lalu dan hari ini mahkamah memutuskan keputusan akan diumumkan pada akhir Oktober. Sekiranya tiada keputusan baharu dimaklumkan, perbicaraan akan diteruskan mengikut tarikh yang telah ditetapkan iaitu pada 17 hingga 21 November ini,” katanya.

Prosiding hari ini turut menyaksikan peguam Kamal Hisham Jaafar hadir mewakili seorang daripada tertuduh, iaitu akauntan GISBH, Hamimah Yakub, 73 tahun. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Shafiq Hashim.

Untuk rekod, pada 23 Oktober 2024, Nasiruddin, 66, bersama isterinya, Azura Md Yusof, 58, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, serta 19 individu lain termasuk pemimpin kanan GISBH telah didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang sejak tahun 2020.

Daripada jumlah itu, lapan adalah wanita termasuk Hamimah; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.

Manakala 11 lagi tertuduh lelaki ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pada 13 Januari lalu, Hamimah menjadi tertuduh pertama dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah, manakala pada 23 Disember 2024, kes berprofil tinggi itu telah dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan penuh. - Media Telus

+ - reset