TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Fitnah sampai kaitkan arwah ibu saya' - Fadhlina lapor polis komen kaitkan dengan pengetua sekolah Zara Qairina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Sept - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung komen berunsur fitnah di media sosial yang cuba mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah kepada pelajar yang meninggal dunia, Zara Qairina Mahathir.

Fadhlina berkata, laporan itu dibuat selepas terdapat individu cuba menghubungkannya dengan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah.

“Setakat tepis dan nafi, ternyata tidak menjadi pengajaran. Lebih menyedihkan, fitnah itu turut mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia untuk mempertahankan dirinya.

"Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook dengan memaparkan tangkap layar komen berkenaan.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang juga akan diambil sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Hormati keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan. Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi.

Prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu kini sedang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu dengan beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan. - Media Telus

+ - reset