Berita Politik
'Hubungan MCA, MIC dengan UMNO kini di tahap terendah' – Ramasamy
KUALA LUMPUR 9 Sept – Spekulasi mengenai kemungkinan MCA dan MIC meninggalkan UMNO serta Barisan Nasional (BN) terus mencetuskan tanda tanya apabila Pengerusi Urimai, P Ramasamy memberi amaran langkah itu berpotensi mengundang risiko siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, pemimpin kedua-dua parti itu sedar bahawa menyertai Perikatan Nasional (PN) bukan sesuatu yang mudah kerana mereka mungkin kehilangan kelebihan tertentu yang masih diperoleh bersama BN.
“Terdapat spekulasi bahawa sebaik sahaja MCA dan MIC meninggalkan BN, SPRM mungkin akan segera mengetuk pintu rumah para pemimpin mereka.
"Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahu bagaimana berdepan dengan pembangkang. Pendakwaan terpilih sudah menjadi ciri utama pentadbiran semasa,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Ramasamy berkata, persoalan yang timbul kini ialah mengapa MCA dan MIC mengambil masa begitu lama untuk mempertimbangkan langkah menyertai blok pembangkang walaupun hubungan dengan UMNO semakin renggang.
“Setelah sekian lama setia membuta tuli kepada UMNO dan BN, sikap tunduk sebegini tidak lagi boleh diterima. Kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India terhadap kedua-dua parti ini bukan semata-mata kerana kelemahan mereka sendiri, tetapi sebahagian besarnya berpunca daripada cara layanan UMNO. ‘Penghambaan’ inilah yang membawa mereka ke keadaan malang pada hari ini,” katanya.
Beliau menegaskan, jika kepimpinan MCA dan MIC berani menolak sekadar sisa kuasa yang diberikan, sejarah politik negara mungkin akan berbeza hari ini.
Dalam masa sama, bekas pemimpin DAP itu menyifatkan hubungan antara MCA, MIC dan UMNO kini berada pada tahap paling rendah, malah kedudukan mereka dalam PN juga masih samar.
“Sama ada PN benar-benar serius mahu menerima dua parti bukan Melayu ini belum dapat dipastikan. Pembangkang mungkin sengaja mahu mengganggu kepimpinan UMNO dengan jemputan terbuka kepada MCA dan MIC, tetapi mereka juga tahu kedua-dua parti itu tidak lagi berupaya menarik sokongan besar masyarakat bukan Melayu,” ujarnya.
Hubungan MIC dengan UMNO semakin tegang selepas Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu lalu.
Berita berkaitan
December 16, 2025, 11:12 am
Kenyataan Pemuda MIC terhadap Ahmad Zahid emosionaL, tidak matang
December 15, 2025, 2:51 pm
Zahid tegaskan UMNO tiada hubungan langsung dengan DAP
December 8, 2025, 5:28 pm
MCA kekal bersama BN
December 1, 2025, 10:55 am
Kekalahan bukan noktah: Abdul Rahman Dahlan gesa UMNO Sabah bangkit
November 30, 2025, 12:31 pm
Anwar ucap tahniah kepada Hajiji, janji terus perjuang hak Sabah
November 30, 2025, 10:57 am
PRN Sabah: Lamag hampir bertukar wakil rakyat, Bung menang tipis dengan calon bebas
November 30, 2025, 10:11 am
PRN Sabah: BN sokong pembentukan Kerajaan Negeri bersama GRS
November 30, 2025, 8:18 am
Hajiji angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah
November 30, 2025, 12:14 am
BN sedia kerjasama dengan parti lain bentuk Kerajaan Negeri Sabah baharu - Ahmad Zahid
November 29, 2025, 10:42 pm
