Berita Dunia
Netanyahu sahkan serangan Israel ke atas Qatar, sasar kepimpinan Hamas
DOHA 9 Sept - Israel melancarkan serangan pada Selasa yang menyasarkan kepimpinan Hamas di Qatar, sekali gus mencetuskan kecaman keras daripada pihak berkuasa Doha yang menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut serta pelanggaran nyata terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa.
Menurut pegawai Israel, serangan tersebut adalah sebahagian daripada kempen yang diperluaskan terhadap Hamas, ketika rundingan untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza terus menemui jalan buntu menjelang kemungkinan serangan baharu di wilayah itu.
Asap hitam dilaporkan menjulang di langit ibu negara Qatar, Doha, dengan pihak berkuasa tempatan mengesahkan serangan tersebut.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada terdapat mangsa yang cedera.
Serangan itu merupakan kali kedua Qatar, negara kaya tenaga, menjadi sasaran secara langsung dalam hampir dua tahun konflik yang melanda Asia Barat sejak serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Jurucakap tentera Israel merujuk kepada serangan udara yang dilancarkan oleh angkatan udara negara itu, walaupun butiran pelaksanaan masih tidak diperincikan.
Dalam masa sama, Qatar Airways dilihat masih mendarat seperti biasa di Doha, manakala sekurang-kurangnya sebuah pesawat udara tentera Qatar berlepas untuk rondaan di ruang udara negara itu.
Dalam kenyataan yang dikongsikan di platform X melalui Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa operasi itu dilakukan sepenuhnya oleh Israel tanpa campur tangan pihak lain.
“Israel yang memulakan, Israel yang melaksanakan, dan Israel yang bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar Qatar melalui jurucakapnya, Majed al-Ansari, mengecam serangan ke atas ibu pejabat politik Hamas di Doha, menyifatkannya sebagai tindakan pengecut dan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Pangkalan udara Al-Udeid di Qatar, yang menempatkan markas hadapan Tentera Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) bagi rantau Asia Barat, sebelum ini pernah menjadi sasaran serangan Iran dalam perang 12 hari Iran-Israel yang menyaksikan pengebom Amerika menyerang tapak nuklear Iran.
Media Israel yang memetik pegawai kanan negara itu melaporkan, serangan kali ini menyasarkan beberapa pemimpin tertinggi Hamas termasuk Khalil al-Hayya, ketua Hamas di Gaza yang hidup dalam buangan dan juga merupakan ketua perunding utama kumpulan itu.
Kepimpinan Hamas yang hidup dalam buangan sejak sekian lama berpangkalan di Qatar, dengan negara itu turut memainkan peranan sebagai perantara dalam rundingan antara Hamas dan Israel, jauh sebelum tercetusnya perang di Gaza.
Pemerhati politik menjangkakan serangan terhadap kepimpinan tertinggi Hamas ini bakal merumitkan lagi rundingan gencatan senjata di Gaza serta usaha pembebasan tebusan yang ditahan sejak serangan 7 Oktober 2023 lalu. - Agensi
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:11 pm
Trump larang warga Palestin masuk AS
December 15, 2025, 8:32 pm
Ibu bapa doa keselamatan lelaki disanjung wira insiden tembakan Pantai Bondi
December 15, 2025, 9:16 am
Serangan tembakan Pantai Bondi: Polis sahkan bapa, anak dalang,16 terkorban
December 9, 2025, 12:53 pm
Kemboja balas serangan, pertempuran dengan Thailand semakin tegang
December 1, 2025, 10:02 pm
Afrika lancar suntikan cegah HIV pertama
November 28, 2025, 8:16 pm
Penduduk Hatyai ambil barang tanpa bayar selepas banjir cetus perdebatan
November 28, 2025, 1:38 pm
Terpaksa tambah peti mayat, 105 mayat ditemui dalam tempoh lima hari banjir landa Hatyai
November 28, 2025, 9:39 am
Korban kebakaran terburuk di Hong Kong cecah 94 orang
November 27, 2025, 10:09 am
