Berita Dunia
Protes ganas dengan 19 kematian, PM Nepal akhirnya letak jawatan
NEW DELHI 10 Sept – Perdana Menteri Nepal, Khadga Prasad Sharma Oli, meletakkan jawatan pada Selasa selepas gelombang protes ganas tercetus di seluruh negara sehingga mengakibatkan kematian 19 orang penunjuk perasaan sehari sebelumnya.
Tindakan Oli itu dibuat selepas beberapa bangunan awam dan kediaman ahli politik diserang serta dibakar, termasuk kediaman peribadinya yang menjadi sasaran dalam beberapa insiden kebakaran dan vandalisme.
Di Kathmandu, pejabat parti pemerintah, Nepali Congress turut dibakar manakala tentera terpaksa menggunakan helikopter untuk memindahkan menteri dari kediaman masing-masing di kawasan Bhaisepati.
Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan juga dihentikan sementara pada sebelah petang atas faktor keselamatan, meskipun pihak berkuasa menegaskan lapangan terbang itu tidak ditutup sepenuhnya.
Kerajaan mengenakan perintah berkurung di banyak kawasan di Kathmandu dan beberapa daerah lain bagi mengawal keadaan.
Protes besar-besaran itu tercetus selepas kerajaan mengumumkan larangan penggunaan platform media sosial minggu lalu, sekali gus mencetuskan desakan rakyat agar rasuah dibanteras dan reformasi politik dilaksanakan.
Oli, 73, dilantik sebagai perdana menteri pada Julai 2024 menggantikan Pushpa Kamal Dahal selepas kerajaan pimpinan Dahal tumbang.
Beliau sebelum ini pernah dua kali memegang jawatan yang sama iaitu dari Oktober 2015 hingga Julai 2016 serta Februari 2018 hingga Julai 2021. – AGENSI
Berita berkaitan
June 24, 2026, 1:10 pm
Zoo China tawar gaji RM61,000 setahun untuk jadi beruang hitam
June 11, 2026, 10:47 am
Iran umum Selat Hormuz ditutup sepenuhnya selepas serangan baharu AS
June 10, 2026, 9:44 pm
Kontraktor Colombia didakwa terlibat sokong RSF dalam konflik Sudan - HRW
June 10, 2026, 6:26 pm
Harga runcit petrol RON95, diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 11 hingga 17 Jun 2026
June 5, 2026, 2:48 pm
Brunei rombak kabinet, Putera Abdul Mateen dilantik Menteri Hal Ehwal Luar
June 4, 2026, 8:56 am
