Berita Dunia
Banjir terburuk Bali dalam tempoh sedekad, 9 terkorban, ratusan dipindahkan
DENPASAR 11 Sept – Banjir besar yang melanda beberapa daerah di Bali sejak Selasa lalu mencatatkan tragedi terburuk dalam tempoh 10 tahun apabila sekurang-kurangnya sembilan mangsa disahkan maut, manakala lebih 200 penduduk terpaksa dipindahkan.
Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Bali, I Gede Agung Teja Bhusana Yadnya berkata, kawasan paling terjejas termasuk Denpasar, Jembrana, Gianyar, Tabanan dan Klungkung.
“Dua mangsa di Jembrana meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik dan dihanyutkan arus deras, lima lagi ditemui di Denpasar manakala seorang di Gianyar,” katanya.
Menurut rekod Pasukan Mencari dan Menyelamat (Basarnas), antara mangsa di Denpasar ialah Nadira, Ni Wayan Lenyot dan Dedek Rio Adi Saputra.
Seorang lelaki, Komang Oka Sudiastawa, 38, maut akibat terkena renjatan elektrik di Jembrana, manakala seorang wanita, Nita Kumala, 22, pula dihanyutkan arus deras.
Hujan lebat yang berterusan sejak Selasa menyebabkan beberapa sungai utama melimpah termasuk Sungai Tukad Badung berhampiran Pasar Badung, Denpasar, sehingga menenggelamkan kawasan perumahan, pasar dan jalan utama.
Gabenor Bali, Wayan Koster yang turun meninjau lokasi berkata, kerajaan negeri akan menanggung kerugian dialami peniaga di Pasar Kumbasari menerusi peruntukan bersama kerajaan negeri dan majlis bandar raya Denpasar.
“Di Denpasar sahaja terdapat 43 lokasi banjir, dengan keadaan paling teruk di Pasar Kumbasari dan Jalan Pura Demak,” katanya.
Bencana itu turut menyebabkan laluan utama di Jalan Denpasar–Gilimanuk terputus, manakala terowong Dewa Ruci di Kuta serta beberapa jalan di Seminyak, Sunset Road dan Denpasar Barat tidak boleh dilalui kenderaan.
Kepala Seksyen Operasi dan Siaga Basarnas Bali, I Wayan Juni Antara berkata, lebih 70 mangsa telah dipindahkan sehingga tengah hari semalam dan angka dijangka terus meningkat berikutan hujan masih turun lebat.
Seorang penduduk, Tasha dari Denpasar Barat berkata, air mula memasuki rumahnya tengah malam.
"Banjir kali ini sangat teruk, kami tidak sangka kawasan ini boleh tenggelam. Banyak barangan elektrik rosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk di Gianyar, Ronatal Siahaan, pula berkata rumahnya dimasuki air sedalam 40 sentimeter akibat limpahan sungai berdekatan.
Pakar ekonomi Universiti Udayana, Amrita Nugraheni Saraswaty menganggarkan kerugian akibat banjir mencecah ratusan bilion rupiah, termasuk kediaman, kenderaan, bangunan runtuh, sektor perdagangan serta industri pelancongan yang lumpuh.
Balai Besar Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BBMKG) Denpasar menjelaskan, fenomena gelombang ekuatorial Rossby menyebabkan hujan luar biasa dengan angin kencang sejak dua hari lalu.
Keadaan dijangka beransur reda pada Khamis apabila jumlah hujan berkurangan.
Menurut BPBD Bali, selain faktor cuaca, banjir kali ini juga berpunca daripada kesan pembangunan pesat yang menjejaskan sistem saliran dan aliran sungai.
Berita berkaitan
October 29, 2025, 12:45 pm
Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
October 28, 2025, 3:24 pm
Katy Perry, Justin Trudeau sahkan hubungan cinta secara terbuka di Paris
October 28, 2025, 10:56 am
Israel dilanda wabak maut terburuk, catat 5,000 kes dengan 8 kematian
October 21, 2025, 4:02 pm
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
October 16, 2025, 12:09 pm
Trump pertimbang arah Israel serang semula Gaza jika Hamas langgar gencatan senjata
October 11, 2025, 11:47 am
AS kenakan tarif 100 peratus ke atas import China mulai 1 November — Trump
October 11, 2025, 10:19 am
Israel tarik balik tentera, perang di Gaza berakhir — Rakyat Palestin mula pulang ke rumah
October 9, 2025, 10:48 am
Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Trump bagi Gaza
October 7, 2025, 9:14 am
Greta Thunberg selamat tiba di Greece selepas dibebaskan dari tahanan Israel
October 6, 2025, 9:43 am
