TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar jamin harga RON95 turun RM1.99 seliter akhir September

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 13 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan harga petrol RON95 akan turun kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini, seperti yang diumumkan pada Julai lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan rakyat tidak perlu gusar kerana janji kerajaan tetap akan ditunaikan walaupun berdepan cabaran semasa.

“Ada yang marah kerana September sudah tiba tetapi harga minyak belum turun. Saya kata sebelum akhir September, adakah 10 September sudah dianggap akhir bulan?” katanya ketika berucap pada Rapat Umum 27 Tahun Reformasi PKR Johor di sebuah hotel, semalam.

Beliau turut menekankan bahawa ketika kebanyakan negara tidak menurunkan harga petrol, Malaysia mampu melaksanakannya kerana kerajaan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Beritahu saya, negara mana yang menurunkan harga petrol mereka ketika ini? Sebab negara ini diperintah oleh kerajaan yang memikirkan rakyat dan menunaikan janji,” katanya.

Selain isu minyak, Anwar turut menyatakan kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat dalam pelbagai langkah lain termasuk kenaikan gaji pekerja serta bantuan langsung.

“Perdana Menteri tidak ambil gaji, malah gaji menteri dipotong sebanyak 20 peratus,” ujarnya.

Pada 23 Julai lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia sahaja menjelang akhir September.

Ketika ini, harga runcit petrol RON95 masih kekal pada RM2.05 seliter, manakala harga runcit petrol RON97 naik dua sen kepada RM3.18 seliter bagi tempoh 11 hingga 17 September, menurut Kementerian Kewangan.


 

+ - reset