TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Belanjawan 2026 hala tuju bantu rakyat tanpa tambah beban hutang negara – PM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan petang ini sebagai hala tuju penting bagi memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.

Menurut beliau, belanjawan keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI itu bukan sekadar angka dan perbelanjaan, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat.

“Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar dijadual membentangkan Belanjawan MADANI 2026 pada pukul 4 petang ini di Dewan Rakyat. Belanjawan tersebut menjadi tumpuan utama kerana turut menandakan permulaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang menjadi asas kepada pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan Prabelanjawan 2026 yang diterbitkan Kementerian Kewangan, belanjawan itu dirangka bagi meneruskan Kerangka Ekonomi MADANI dengan fokus memulih daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat di bawah tiga tonggak utama: menaikkan siling pertumbuhan, meningkatkan taraf hidup dan memacu pembaharuan.

+ - reset