TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana antara 4 hingga 4.5 peratus pada 2026

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sederhana antara 4 hingga 4.5 peratus pada tahun 2026, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan pertumbuhan ekonomi semasa antara 4 hingga 4.8 peratus bagi tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan global dan konflik serantau.

“Kendatipun konflik dan tarif global menggasak, asas ekonomi negara kekal kukuh, membolehkan Malaysia menghadapi kejutan ekonomi luar,” katanya menerusi prakata laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi struktur ekonomi negara digerakkan berlandaskan pengurusan kewangan berhemat, dengan keyakinan turut dikongsi IMF dan Bank Dunia yang mengekalkan unjuran positif terhadap Malaysia walaupun ekonomi global perlahan.

Menurut beliau, ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada separuh pertama 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan berterusan, pertumbuhan gaji dan pasaran buruh stabil.

“Lonjakan 11 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 meletakkan Malaysia di tangga ke-23 dunia, kedudukan terbaik sejak 2020,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan komited mengurangkan defisit fiskal daripada 4.1 peratus KDNK pada 2024 kepada 3.5 peratus menjelang 2026, dan tiga peratus dalam jangka sederhana, selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

Beliau berkata, pelaksanaan e-invois, penambahbaikan SST serta rasionalisasi subsidi bersasar bagi diesel, RON95 dan elektrik menjimatkan berbilion ringgit yang kemudiannya disalurkan kepada rakyat.

“Penjimatan itu membolehkan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat 50 peratus kepada RM15 bilion, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat Malaysia,” jelasnya.

+ - reset