TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Restoran di Melaka diserbu guna minyak masak peket bersubsidi untuk berniaga

By
|
Kongsi
image

MELAKA 10 Okt. – Tindakan sebuah restoran di Bukit Beruang yang disyaki menggunakan minyak masak peket bersubsidi untuk kegunaan perniagaan terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menerusi Ops Samar 5.0.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin, berkata serbuan pada Rabu lalu itu dilakukan hasil aduan awam dan risikan pegawai penguat kuasa yang mendapati premis berkenaan menyimpan minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran.

Pemeriksaan menemukan 31 peket minyak masak bersubsidi satu kilogram serta lapan botol minyak masak lima kilogram pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM324.70.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat plastik minyak masak peket yang dipotong dan minyaknya dipindahkan ke dalam botol lima kilogram bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Pemilik restoran gagal mengemukakan permit atau lesen bagi menyimpan barang kawalan dan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Mohd Hazimin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi, dan operasi pemantauan akan terus dipergiat.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang salah laku perdagangan atau isu kepenggunaan melalui saluran rasmi KPDN Melaka.

+ - reset