TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MRSM Gemencheh ditutup 20 hari akibat penularan influenza A

By
|
Kongsi
image

TAMPIN 10 Okt. - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh ditutup selama 20 hari bermula Isnin lalu hingga 26 Oktober ini susulan penularan kes influenza A dalam kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan, berkata wabak itu mula dikesan pada Jumaat lalu apabila lapan pelajar berusia 13 hingga 15 tahun didapati positif influenza A dengan gejala demam, batuk dan sakit tekak.

“Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tampin menerima empat notifikasi awal daripada beberapa klinik swasta pada 2 Oktober. Hasil semakan bersama pihak sekolah mendapati terdapat empat lagi pelajar positif menjadikan keseluruhan lapan kes setakat ini.

“Jumlah pelajar yang terdedah kepada jangkitan dianggarkan seramai 755 orang dengan kadar serangan 1.1 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua pelajar tingkatan satu hingga empat telah diarahkan pulang, manakala pelajar tingkatan lima yang bergejala ditempatkan di bilik isolasi dan mereka yang disahkan positif diarahkan pulang untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah telah melakukan disinfeksi menyeluruh di sekolah dan situasi kini masih terkawal tanpa sebarang kes baharu dilaporkan.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam melaporkan 97 kluster influenza direkodkan di seluruh negara pada Minggu Epidemiologi ke-40, meningkat berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya.

+ - reset