TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penumpang maut, bas ekspres terbabas rempuh papan tanda di Lebuhraya PLUS

By
|
Kongsi
image

 

 

KAJANG, 11 Okt — Seorang penumpang maut manakala 18 lagi cedera selepas sebuah bas ekspres dinaiki mereka terbabas dan merempuh tebing bukit di Kilometer 293.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, bantuan turut digerakkan daripada BBP KLIA dan BBP Seri Kembangan bagi membantu operasi menyelamat.

“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang terbabas sendiri lalu melanggar tiang papan tanda lebuh raya.

“Terdapat 19 mangsa termasuk pemandu bas dalam kejadian itu. Seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun ditemui tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Mukhlis, tiga lagi mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada jam 3.48 pagi, manakala selebihnya sempat merangkak keluar sendiri sebelum pasukan penyelamat tiba.

Katanya, 17 penumpang dan seorang pemandu yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi oleh pasukan perubatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

+ - reset