Berita Berita
Kerajaan salur RM34.81 juta baik pulih 137 pondok, tahfiz seluruh negara

IPOH 12 Okt - Sebanyak 137 projek pembaikan kecil pondok dan sekolah tahfiz di seluruh negara diluluskan kerajaan dengan jumlah peruntukan RM34.81 juta bagi memastikan kemudahan asas di institusi agama itu lebih selesa dan selamat untuk pelajar, termasuk lapan projek di Perak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan berkenaan akan digunakan bagi pembaikan segera infrastruktur asas seperti bumbung, tandas dan bilik darjah yang uzur di institusi pondok dan tahfiz, yang sekian lama menjadi benteng kekuatan ilmu serta akhlak umat Islam.
"Beberapa sekolah pondok, kita lihat keadaan itu sangat daif, jadi kita ada urutan beberapa pondok yang kita senaraikan sekarang, ada 137 pondok termasuk lapan pondok di Perak.
"Ini yang kita bagi keutamaan dulu dan saya sedang merencanakan selepas mengumumkan Belanjawan 2026 semalam, bagaimana boleh kita tambah supaya semua kemudahan itu sampai ke sekolah," katanya.
Beliau berucap pada Kenduri Rakyat Bersama Warga Institut Pendidikan Islam (Tahfiz/Pondok) Negeri Perak di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Menurut Anwar, keutamaan itu diberikan kerana kerajaan tidak hanya menumpukan kepada aspek pembangunan fizikal dan kemajuan semata-mata, sebaliknya turut menitikberatkan pembangunan rohani serta pendidikan anak-anak sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan MADANI.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah tersebut sebahagian daripada dasar Kerajaan MADANI untuk memulihkan semula bantuan kepada sekolah agama rakyat yang pernah dihentikan sejak 2003.
"Maka sejak 2022, saya ambil alih dengan kerjasama kawan-kawan dalam Kerajaan Perpaduan ini, saya sudah kembalikan balik peruntukan kepada sekolah-sekolah agama rakyat," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru institusi pondok dan tahfiz agar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi masa kini, termasuk penguasaan dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI), supaya tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.
"Pihak pondok dan pesantren harus terima kenyataan bahawa beberapa perubahan harus dilakukan tanpa mengganggu pengajaran tradisional, jadi saya hendak cadangkan supaya ditambah mengenai digital dan AI.
"Kalau pondok tidak menguasai digital teknologi, AI, orang yang menguasai AI itu akan tenggelamkan pondok sehingga penjajahan baharu kerana AI sudah menjadi satu kenyataan di dunia dan kalau kita biar orang luar menguasai, dia tidak jajah seperti dulu tetapi jajah pemikiran serta teknologi kita," katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak berhasrat mengubah sistem pengajian tradisional pondok, sebaliknya mahu menambah baik kemudahan asas termasuk perpustakaan dan makmal sains agar pelajar turut mendapat pendedahan kepada bidang moden.
Anwar turut memaklumkan bahawa dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkannya semalam, kerajaan memperkukuh syiar Islam secara menyeluruh menerusi peruntukan RM2.6 bilion bagi memartabatkan institusi pendidikan Islam, memperkasakan masjid serta memperluas kefahaman Islam berteraskan prinsip MADANI.
Langkah itu, katanya, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan syiar Islam terus dipelihara dan dimartabatkan seiring pembangunan negara.
Berita berkaitan
October 12, 2025, 10:04 am
Influenza: 34 MRSM laksana PDPR, lebih 2,700 pelajar dijangkiti - Asyraf Wajdi
October 12, 2025, 9:53 am
Pegawai bank pun tertipu, rugi RM6.65 juta terpedaya pelaburan saham palsu online
October 11, 2025, 7:23 pm
Saifuddin bakal jadi pengiring Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
October 11, 2025, 6:56 pm
Peruntukan RM66.2 bilion bukti komitmen kerajaan angkat martabat pendidikan – Fadhlina
October 11, 2025, 6:02 pm
'Mak guard', kekasih ditahan disyaki cabul budak darjah 3 dalam tandas sekolah di Rembau
October 11, 2025, 5:13 pm
'Ini kes yang sangat serius' - KPM minta SKMM sekat video kes rogol pelajar Tingkatan 3 di Melaka
October 11, 2025, 4:05 pm
'Dah macam pegawai kebajikan' - Rafizi kritik agihan tunai Bantuan Awal Persekolahan hanya bebankan guru
October 11, 2025, 3:14 pm
Pelajar Tingkatan 3 dirogol bergilir-gilir dalam kelas sambil dirakam, KPM bakal ambil tindakan tegas
October 11, 2025, 12:33 pm