TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suami isteri maut, trap pikap terbabas ke longkang di LPT1

By
|
Kongsi
image

 

MARAN, 11 Okt — Sepasang suami isteri maut manakala empat lagi cedera selepas trak pikap dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam longkang di Kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, kenderaan jenis Toyota Hilux itu dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum terbalik di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands menuju ke Kemaman, Terengganu, ketika kejadian berlaku.

“Kenderaan sedang bergerak di lorong kiri sebelum tiba-tiba terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam longkang, dipercayai akibat permukaan jalan licin.

“Permukaan jalan ketika itu lembap dan keadaan agak gelap. Trak pikap mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan serta cermin pecah,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang maut di lokasi ialah pemandu, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hasnah Mat Nong, 64, kedua-duanya pengusaha Warung Aziz Satar di Kampung Geliga, Kemaman.

Empat penumpang lain yang cedera dikenal pasti sebagai Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45; dan seorang kanak-kanak, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, yang juga pekerja serta ahli keluarga pasangan terbabit.

Menurut Wong, mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

+ - reset