TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saifuddin bakal jadi pengiring Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

By
|
Kongsi
image

 

KUALA TERENGGANU, 11 Okt — Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bakal bertugas sebagai menteri pengiring kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Oktober ini.

Menurut Saifuddin, tugas beliau terhad kepada mengiringi pemimpin berkenaan sepanjang sidang kemuncak berlangsung, manakala sebarang perbincangan rasmi dan rundingan dua hala akan dikendalikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin ASEAN lain termasuk dari Timor-Leste.

“Wisma Putra lazimnya menugaskan seorang menteri untuk menjadi pengiring apabila pemimpin dunia datang ke negara kita.

“Kali ini, saya ditugaskan mengiringi Presiden Amerika Syarikat sepanjang acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” katanya selepas merasmikan Peluncuran SMKA Sheikh Abdul Malek sebagai Sekolah Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan beliau turut berusaha membantu rundingan pembebasan wakil-wakil Malaysia dan antarabangsa yang menyertai dua misi kemanusiaan ke Gaza dengan menghubungi Utusan Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, yang juga kenalan peribadinya.

Namun katanya, usaha itu hanya sebagai sokongan kecil berbanding inisiatif besar yang digerakkan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi memastikan pembebasan semua peserta misi Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition.

“Saya tahu Perdana Menteri menghubungi rakan sejawatnya di Arab Saudi, Mesir dan Turkiye. Begitu juga Tok Mat (Mohamad) yang memainkan peranan penting dalam usaha ini,” katanya.

+ - reset