TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Mak guard', kekasih ditahan disyaki cabul budak darjah 3 dalam tandas sekolah di Rembau

By
|
Kongsi
image

 

REMBAU, 11 Okt — Seorang wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah dan teman lelakinya ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Tiga dalam tandas sekolah berkenaan, Selasa lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata tangkapan dilakukan pada malam hari sama selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya berusia sembilan tahun itu dirogol ketika ke tandas sekolah.

“Laporan dibuat kira-kira jam 8 malam Selasa lalu. Kejadian didakwa berlaku sekitar jam 9.30 pagi ketika mangsa ke tandas untuk membuang air. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil pemeriksaan perubatan mendapati tiada unsur rogol berlaku, sebaliknya terdapat tanda-tanda cubaan rogol dan perlakuan cabul terhadap mangsa.

Menurut Alzafny, wanita berusia 22 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya berusia 25 tahun di sekitar daerah berkenaan dan kini direman selama tujuh hari bermula 8 Oktober bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Siasatan awal mendapati mangsa disyaki dicabul ketika berada di dalam tandas sekolah, dan polis sedang melengkapkan siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

+ - reset