TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Dah macam pegawai kebajikan' - Rafizi kritik agihan tunai Bantuan Awal Persekolahan hanya bebankan guru

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur keputusan kerajaan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 secara tunai kepada ibu bapa melalui guru, dengan menyifatkannya sebagai langkah ke belakang yang menambah beban tugas pendidik.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kaedah berkenaan bukan sahaja menyulitkan urusan agihan, malah boleh mengalih tumpuan guru daripada tugas utama mereka untuk mendidik pelajar.

“Harus diingatkan, tugas guru adalah untuk mengajar, bukan dibebankan dengan urusan yang tidak sepatutnya.

“Mungkin cikgu pun marah sebab selepas ini tugas mereka seperti ‘pegawai kebajikan’ pula,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri, semalam.

Rafizi turut menyamakan pendekatan itu dengan kaedah lama seperti pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memerlukan penerima hadir secara fizikal untuk menerima bantuan.

“Kerajaan sepatutnya bergerak ke hadapan, bukan kembali kepada gaya lama yang rakyat kena beratur ambil bantuan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kaedah agihan tunai itu digunakan untuk tujuan publisiti politik, namun menegaskan akhirnya guru yang menanggung kesannya di peringkat pelaksanaan.

Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan sistem pendidikan masa kini sudah cukup canggih untuk mengurus bantuan secara berpusat tanpa proses manual.

“Sekarang ini semua data pelajar sudah ada. Jadi kalau diinstitusikan, siapa yang layak akan terus menerima bantuan tanpa perlu penglibatan manual,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2026 bahawa BAP sebanyak RM150 akan diagihkan secara tunai kepada ibu bapa di sekolah, melibatkan 5.2 juta muriddengan peruntukan keseluruhan RM800 juta.

Rafizi turut menambah, program kebajikan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diteruskan kerajaan wajar diinstitusikan secara kekal, agar pelaksanaannya lebih mudah dan telus tanpa dijadikan bahan politik.

 

+ - reset