Berita Berita
Influenza: 34 MRSM laksana PDPR, lebih 2,700 pelajar dijangkiti - Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Sebanyak 34 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara diarahkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) berikutan penularan jangkitan influenza yang kini menular dalam kalangan pelajar.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata langkah proaktif itu diambil selepas setiap MRSM berkenaan mencatatkan lebih 50 kes jangkitan influenza, dengan 2,724 pelajar dikenal pasti dijangkiti setakat ini.
“Sejak penularan kes berlaku, pengurusan MARA telah mengarahkan semua pengetua MRSM mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terjamin.
“Antara langkah diambil termasuk memberikan rawatan segera kepada pelajar yang bergejala di klinik atau hospital, mengasingkan pelajar yang sakit, memastikan pemakaian pelitup muka serta membekalkan air masak mencukupi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Menurut Asyraf Wajdi, semua aktiviti luar turut ditangguhkan sementara waktu, manakala pihak sekolah diarah untuk berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mematuhi garis panduan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Keutamaan utama MARA ialah kebajikan dan keselamatan semua warga maktab. Justeru, semua langkah pencegahan sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan jangkitan ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa mana-mana MRSM yang mencatatkan lebih 50 kes dibenarkan menghantar pelajar pulang dan melaksanakan PDPR, bagi memutuskan rantaian penularan serta memberi ruang kepada proses sanitasi dilakukan di asrama dan bilik darjah.
Dalam hantaran di Facebook, Asyraf turut menyeru orang ramai mendoakan kesembuhan pelajar yang terjejas dan kesejahteraan semua institusi pendidikan berasrama di bawah MARA.
Sebelum ini, KKM melaporkan peningkatan mendadak kes Influenza A dan B, dengan 97 kluster dikesan pada Minggu Epidemiologi ke-40 berbanding hanya 14 kluster minggu sebelumnya.
Lima negeri mencatatkan jumlah tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) dan Kedah (5), dengan kebanyakan kes berlaku di sekolah menengah dan rendah.
Berita berkaitan
October 12, 2025, 1:26 pm
Tular video suspek cabut lari, polis siasat kejadian curi kabel di Kota Tinggi
October 12, 2025, 1:02 pm
Pensyarah UiTM ditemui lemas di kolam renang resort di Kemaman
October 12, 2025, 12:53 pm
JPJ bongkar taktik 'prebet sapu' tukar cat kenderaan jadi van pelancong di Kuala Lumpur
October 12, 2025, 9:53 am
Pegawai bank pun tertipu, rugi RM6.65 juta terpedaya pelaburan saham palsu online
October 12, 2025, 8:35 am
Kerajaan salur RM34.81 juta baik pulih 137 pondok, tahfiz seluruh negara
October 11, 2025, 7:23 pm
Saifuddin bakal jadi pengiring Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
October 11, 2025, 6:56 pm
Peruntukan RM66.2 bilion bukti komitmen kerajaan angkat martabat pendidikan – Fadhlina
October 11, 2025, 6:02 pm