TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Mahu tolong lebih ramai orang, wujud peluang pekerjaan' - Rafizi buka kedai makan, barangan harian RM5

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Okt - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, bakal melancarkan dua kedai berkonsepkan perusahaan sosial di bawah inisiatif Ayuh Malaysia, yang menawarkan makanan dan barangan harian pada harga mampu milik bawah RM5.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, dua kedai berkenaan — Fleximart dan Kesum — akan mula dibuka kepada orang ramai masing-masing pada 1 November dan 8 November ini.

“Fleximart ialah kedai serbaneka yang memberi tumpuan kepada makanan siap bawah RM5, selain menawarkan barangan runcit lain pada harga rendah.

Kesum pula ialah kedai makan ‘value meal’ berkonsepkan asal kenyang, sedap dan murah, bersempena nama daun kesum serta singkatan kepada kenyang, sedap dan murah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Rafizi menjelaskan, Kesum akan menjual makanan sarapan, tengah hari dan malam pada harga bawah RM5, bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata, kedua-dua kedai itu beroperasi menggunakan model perusahaan sosial, iaitu keuntungan dikongsi bersama antara penyumbang modal, pekerja dan masyarakat.

“Lebih banyak keuntungan, lebih tinggi gaji pekerja, dan sebahagian hasil itu akan disumbangkan kembali supaya harga dapat dikekalkan rendah.

Saya tidak tahu sama ada model ini akan berjaya, tetapi niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan membantu orang ramai dengan tawaran harga lebih murah,” katanya.

Tambah beliau, jika kedua-dua projek percubaan itu berjaya, ia akan dikembangkan ke lebih banyak cawangan di seluruh negara.

“Lebih banyak cawangan bermakna lebih banyak harga rendah dapat ditawarkan dan lebih ramai anak muda boleh dilatih untuk menguruskan perniagaan sendiri,” katanya.

Rafizi turut menjemput orang ramai hadir ke majlis pembukaan Fleximart pada 1 November, jam 10 pagi di No. 35, Jalan Plumbum U7/U, Seksyen 7, Shah Alam, serta pelancaran Kesum pada 8 November, jam 9 pagi di No. 25, Jalan Pandan Indah 1/20, Pandan Indah.

“Insya-Allah, saya sendiri akan buat kopi, sediakan makanan dan menjadi sebahagian daripada krew Fleximart dan Kesum pada hari pembukaan,” katanya.

+ - reset