TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warden bekas tentera tingkat disiplin pelajar MRSM – Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Okt – Pelantikan bekas anggota tentera sebagai warden Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) didapati memberi impak positif terhadap disiplin dan sahsiah pelajar, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, hasil pemantauan awal mendapati pelajar kini lebih berdisiplin, ceria dan patuh kepada peraturan, manakala guru turut menyambut baik langkah tersebut kerana beban tugas mereka semakin berkurangan.

“Ketua Badan Wakil Pelajar MRSM Balik Pulau, Ilham, memberitahu saya sejak warden bekas tentera ini ada, pelajar bangun Subuh berjemaah tepat pada masanya di surau dan tiada lagi yang berani bangun lambat.

“Saya ambil peluang berada di Pulau Pinang untuk #terjah MRSM Balik Pulau bagi melihat sendiri perkembangan Projek Rintis Warden Sepenuh Masa di kalangan Bekas Tentera yang kini sudah masuk bulan ketiga,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf berkata, warden bekas tentera memainkan peranan penting kerana mampu membuat rondaan malam secara konsisten dari jam 10 malam hingga 7 pagi, sekali gus menghalang aktiviti tidak berdisiplin termasuk kes buli.

“Guru-guru yang menjadi warden sebelum ini tidak mampu meronda setiap malam selepas tengah malam kerana mereka perlu mula mengajar seawal jam 7 pagi,” jelasnya.

Tambah beliau, selepas tempoh enam bulan projek rintis ini tamat, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjalankan kajian keberkesanan dan membentangkan laporan kepada MARA.

“Jika hasilnya positif, MARA tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan pelaksanaan ini ke semua MRSM di seluruh negara bagi memastikan disiplin, sahsiah dan akhlak pelajar berada pada tahap tertinggi,” katanya.

+ - reset