TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Trump puji Malaysia sebagai negara hebat dan bertenaga selepas lawatan rasmi dua hari

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat dan sangat bertenaga selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Dalam catatan di platform Truth Social pada Isnin, semasa berlepas ke Jepun, Trump berkata AS telah menandatangani perjanjian perdagangan serta perjanjian nadir bumi penting dengan Malaysia, penganjur persidangan tersebut.

Selain itu, beliau menegaskan pencapaian terbesar sepanjang sidang berkenaan ialah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL) antara Thailand dan Kemboja yang disifatkannya sebagai kejayaan besar ke arah keamanan serantau.

“TIADA PERANG! Berjuta-juta nyawa diselamatkan.

"Suatu penghormatan untuk saya melakukan ini. Sekarang, ke Jepun!!!” tulis Trump.

Trump tiba di Malaysia sekitar 10 pagi Ahad dan berlepas pada 10.06 pagi Isnin, menandakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia serta penyertaan sulung beliau dalam sidang kemuncak pemimpin ASEAN sejak kembali memegang jawatan presiden pada Januari lalu.

Dalam program padatnya, Trump bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pemeteraian perjanjian damai bersejarah antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Selain itu, beliau turut menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Mineral Penting antara Malaysia dan Amerika Syarikat, di samping menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13.

Trump juga menandatangani perjanjian perdagangan berasingan dengan Thailand dan Kemboja sempena sidang tersebut.

Beliau merupakan presiden Amerika ketiga dalam sejarah yang melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 serta 2015.

+ - reset