TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan kaji naikkan had BUDI95 pemandu e-hailing kepada 800 liter sebulan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang meneliti untuk menaikkan had kelayakan Program Budi Madani (BUDI95) bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan, tertakluk kepada rekod perjalanan dan syarat ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil selepas mengambil kira maklum balas pemandu e-hailing yang menganggap had semasa sebanyak 600 liter masih tidak mencukupi untuk menampung kos operasi harian.

“Untuk Oktober, subsidi pemandu e-hailing aktif dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter untuk 58,000 pemandu aktif yang layak. Namun, ada lagi rakan-rakan e-hailing merasakan jumlah itu masih belum mencukupi.

“Jadi kini kita mengkaji, dan jika ada rekod serta keperluan yang jelas, kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing kepada sehingga 800 liter sebulan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) mengenai kemajuan bulan pertama pelaksanaan BUDI95 serta isu-isu berbangkit melibatkan pemandu teksi lapangan terbang, e-hailing dan pengguna bot sungai.

Anwar berkata, kerajaan turut bersetuju menyenaraikan teksi lapangan terbang sebagai kenderaan yang layak menerima RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Selain itu, kemudahan BUDI95 turut diperluas kepada nelayan tanpa lesen memandu, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Setakat 31 Oktober, sebanyak 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu sudah diluluskan untuk menerima BUDI95,” katanya.

Sepanjang 30 September hingga 31 Oktober lalu, seramai 13.1 juta rakyat melakukan transaksi di bawah BUDI95 dengan jumlah perbelanjaan RM2.66 bilion.

+ - reset