TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli Parlimen gesa Saifuddin, Hannah Yeoh berundur susulan rayuan FAM ditolak FIFA

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Nov – Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletakkan jawatan secara terhormat susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen kelayakan tujuh pemain warisan.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, tindakan itu selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan maruah dan integriti.

“Rayuan FAM ditolak; gantung tugas menteri. Menurut FIFA, wujud elemen pemalsuan, pelanggaran dan ketidakpatuhan.
“Skandal ‘epik’ yang menghampakan penyokong, memalukan negara. Bangkit Malaysia!” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Terdahulu, FIFA mengesahkan menolak rayuan FAM mengenai kes terbabit. Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan menulis kepada badan induk itu untuk mendapatkan alasan bertulis penuh sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya termasuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“FAM telah menerima keputusan rayuan daripada FIFA, di mana rayuan kami ditolak,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook FAM semalam.

Pada 26 September lalu, FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.

FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan tujuh pemain tersebut untuk beraksi dalam perlawanan rasmi.

Antara pemain terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

FIFA turut mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain menggantung ketujuh-tujuh pemain warisan selama 12 bulan.

Kesemua pemain berkenaan diturunkan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang membawa kepada aduan rasmi mengenai status kelayakan mereka.

+ - reset