TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah putuskan bekas suami Jahidah kekal bersalah, penjara 10 tahun

By
|
Kongsi
image

 

 

JOHOR BAHRU 4 Nov – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga, Rosmaini Abd Raof, 42, selepas menolak rayuannya berhubung kes menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin, 47, sehingga koma empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad yang menolak rayuan Rosmaini serta mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember tahun lalu.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menolak permohonan silang pihak pendakwaan yang memohon agar tempoh hukuman ditingkatkan.

Menurut Atan Mustaffa, tiada sebarang kesilapan dilakukan hakim Mahkamah Sesyen ketika mensabitkan kesalahan tertuduh.

“Kemunculan dua eksibit D45 dan D47 yang diragui hanya dikemukakan selepas tertuduh dipanggil membela diri dan tidak pernah timbul sepanjang perbicaraan lebih dua tahun.

“Tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke apartmen lokasi kejadian dan mengaku memukul isterinya menggunakan tangan,” katanya ketika membacakan penghakiman.

Beliau berkata, laporan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan parah pada otak dan memerlukan pembedahan, malah tertuduh turut cuba melarikan diri ketika ditahan polis.

Mengenai permohonan pendakwaan untuk menambah hukuman, Atan Mustaffa menegaskan mahkamah tidak akan mencampuri keputusan terdahulu meskipun simpati terhadap keadaan mangsa.

“Pendakwaan berhujah hukuman 10 tahun terlalu ringan berbanding kecederaan serius yang dialami mangsa.
Namun, mahkamah tidak berpuas hati untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen,” jelasnya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar, manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar, Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan.

Muhammad Nor kemudian memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara notis rayuan difailkan ke Mahkamah Rayuan, dan permohonan itu dibenarkan mahkamah.

Bagaimanapun, jumlah jaminan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM25,000 dengan dua syarat dikekalkan — tertuduh mesti melapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Sebelum ini, pada 25 Februari lalu, Mahkamah Tinggi melalui Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman 10 tahun terhadap Rosmaini sementara menunggu rayuan sabitan dan hukuman didengar.

Rosmaini sebelum itu sempat dipenjarakan selama 79 hari selepas disabitkan bersalah pada 9 Disember tahun lalu atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah hingga koma pada Mei 2021.

Kesalahan dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, serta boleh digandakan di bawah Seksyen 326A.

 

+ - reset