TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia lakar sejarah dilantik Lembaga Eksekutif UNESCO, bukti pengiktirafan dunia - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Malaysia sekali lagi mengukir sejarah di pentas antarabangsa apabila dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029, menandakan pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan dan komitmen negara dalam memperjuangkan agenda global pendidikan, sains serta kebudayaan.

Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Fadhlina Sidek, berkata pemilihan itu diumumkan pada Persidangan Agung UNESCO ke-43 di Samarkand, Uzbekistan.

“Kejayaan ini adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan, sumbangan dan keupayaan Malaysia dalam memacu agenda global pendidikan, sains dan kebudayaan demi kesejahteraan global yang inklusif serta mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota UNESCO yang memberikan kepercayaan kepada Malaysia untuk menggalas tanggungjawab berprestij itu.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan, Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Kementerian Luar serta rakan strategik yang komited memperjuangkan kepentingan bersama di peringkat global,” katanya.

Menurut beliau, mandat baharu ini akan digunakan sebaiknya bagi memastikan suara negara membangun, khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, terus didengari dan dihormati.

“Pemilihan ini adalah amanah besar untuk memastikan Malaysia kekal menyerlah dalam membina masa depan yang lebih inklusif, aman dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Fadhlina menegaskan, Malaysia akan terus menjadi rakan strategik, proaktif dan konstruktif di UNESCO, dengan tumpuan kepada dasar yang memartabatkan pendidikan berkualiti, memperkukuh sains dan teknologi bagi pembangunan mampan serta melindungi warisan budaya dan alam sekitar dunia.

“Menerusi mandat baharu ini, Malaysia akan memainkan peranan strategik dalam membentuk hala tuju UNESCO untuk empat tahun akan datang sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030),” katanya.

 

 

+ - reset