TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ewon Benedick sah letak jawatan Menteri KUSKOP, akui janggal terus bersama Kabinet Persekutuan

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Spekulasi mengenai kedudukan Datuk Ewon Benedick dalam Kabinet akhirnya terjawab apabila Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu malam ini mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkenaan menerusi satu kenyataan di laman rasmi Facebook Ewon Benedick Official Media, malam ini.

“Saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas ruang kebersamaan dalam Kabinet yang telah menjadi platform untuk saya memperjuangkan prinsip berkaitan hak-hak Sabah,” katanya.

Berpegang kepada prinsip perjuangkan hak Sabah

Menurut Ewon, keputusan itu dibuat atas prinsip perjuangan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) telah mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut.
AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet dengan pendirian AGC itu yang saya percaya akan kekal menjadi pandangan mereka,” katanya.

Ewon menjelaskan, pendekatan AGC terhadap isu hak 40 peratus hasil Sabah sepanjang tiga tahun beliau dalam Kabinet dilihat bercanggah dengan prinsip perjuangan UPKO.

“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah itu dilaksanakan.
Ini adalah prinsip dan sebab saya menyertai politik,” tegasnya.

Tidak sokong keputusan bercanggah dengan Mahkamah Tinggi

Ewon turut menegaskan bahawa beliau tidak akan menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu, selain berpendirian bahawa AGC sepatutnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah.

“Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet, namun berdasarkan pendirian yang dibuat di mahkamah, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu,” katanya.

Latar belakang dan reaksi awal

Sebelum ini, Ewon dilaporkan menghadiri majlis perpisahan anjuran kakitangan KUSKOP di Putrajaya, selain memberitahu akan bercuti mulai 11 hingga 29 November, tanpa menyebut soal peletakan jawatan.

Dalam pertemuan bersama warga kementerian di Temerloh minggu lalu, beliau turut memberi bayangan mengenai keputusan itu apabila berkata:

“Mungkin ini ucapan terakhir saya sebagai Menteri KUSKOP... saya amat pasti saya akan balik untuk berkhidmat di Sabah.”

Isu Pemberian Khas Sabah

Untuk rekod, pada 18 Oktober lalu, AGC memaklumkan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah sebelum mengambil tindakan susulan.

Mahkamah pada 17 Oktober memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah perlu menjalankan satu lagi semakan terhadap pemberian khas bagi tempoh 1974 hingga 2022.

Kes berkenaan tertumpu kepada tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai geran khas serta agihan hasil Sabah dan Sarawak, termasuk semakan berkala terhadap jumlah geran tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober lalu mengesahkan beliau belum menerima sebarang notis rasmi berhubung hasrat Ewon untuk meletak jawatan ketika itu.

 

 

+ - reset