Berita Berita
'AI perdaya kanak-kanak' - Ahmad Zahid beri amaran risiko siber semakin kritikal
KUALA LUMPUR 18 Nov - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran bahawa ancaman alam siber semakin berbahaya, dengan kanak-kanak serantau termasuk di Malaysia menjadi mangsa pelbagai jenis jenayah, khususnya kesalahan seksual.
Timbalan Perdana Menteri berkata, jaringan keselamatan dalam talian kini berada pada tahap genting berikutan kemunculan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) yang digunakan pemangsa untuk memperdaya kanak-kanak.
Beliau berkata, dunia digital memang menawarkan peluang besar, namun risiko yang timbul bergerak lebih cepat daripada kemampuan kerajaan dan masyarakat untuk bertindak balas.
“Di seluruh rantau ASEAN, kita sedang melihat tanda-tanda amaran, antaranya Singapura, sebagai contoh, 74 peratus pengguna internet berusia 15 tahun ke atas dilapor berdepan dengan kandungan berbahaya dalam talian pada tahun 2024 manakala di Malaysia, satu tinjauan menunjukkan bahawa sekitar 33 peratus anak muda menjadi mangsa buli siber.
“Ia bukan sekadar angka tetapi adalah isyarat bahawa jaringan keselamatan sedia ada kita sedang berada pada tahap genting kerana AI kini membolehkan pemangsa mencipta suara, pemalsuan wajah, manipulasi identiti kanak-kanak. Ini dilakukan dari belakang skrin, tanpa perlu berada dalam bilik yang sama.
“Di Malaysia, realiti harian amat jelas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mencatatkan sekitar 9,000 aduan buli siber pada tahun 2024, dengan purata 27 kes setiap hari,” katanya ketika berucap pada pelancaran Forum ICT ASEAN 2025 mengenai Perlindungan Online Kanak-Kanak di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; serta Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei, Robert Gass.
Dalam majlis sama, Ahmad Zahid melancarkan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan (2026-2030) yang menurut beliau akan memperkukuh pendekatan ‘whole-of-government’ dalam meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar berkenaan akan dibuat melalui kerjasama rentas sempadan, kolaborasi rapat dengan industri teknologi, memperkasa keluarga dan komuniti, serta membina daya tahan digital dalam kalangan kanak-kanak.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan mengawal internet, tetapi memastikan kanak-kanak dapat meneroka, belajar dan meluahkan diri mereka dengan selamat dan penuh keyakinan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata dasar dan pelan tindakan baharu itu merupakan transformasi sistem perlindungan kanak-kanak negara, yang dirangka untuk menjawab cabaran semasa termasuk risiko keganasan, pengabaian, eksploitasi, kesihatan mental, jurang digital dan ancaman siber.
Katanya, strategi perlindungan dalam talian turut memberi penekanan kepada pendidikan literasi digital, kerjasama industri teknologi serta penyesuaian undang-undang selaras piawaian antarabangsa.
Berita berkaitan
November 18, 2025, 3:32 pm
Lelaki selisih ajal, kereta dihempap runtuhan binaan ECRL di MRR2
November 18, 2025, 3:21 pm
Sorok lebih 190kg kanabis dalam 'speaker' kereta untuk diedar, lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati
November 18, 2025, 2:58 pm
'Di sekolah guru banyak tugas lain' - Ibu bapa digesa pantau aktiviti 'online' anak, tangani kes buli
November 18, 2025, 2:27 pm
PDRM perketat operasi sulit banteras kartel dadah antarabangsa
November 18, 2025, 1:52 pm
Dewan Rakyat kecoh isu menantu Muhyiddin didakwa lari ke luar negara
November 18, 2025, 1:52 pm
Anwar umum jaminan perlindungan, pendapatan untuk `whistleblower’
November 18, 2025, 1:49 pm
Lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang
November 18, 2025, 11:17 am
