TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tersentuh lihat kepayahan murid ke sekolah terapung, Fadhlina komited tangani keciciran pendidikan anak Orang Asli

By
|
Kongsi
image

 

HULU PERAK 18 Nov - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak Orang Asli selepas meninjau sendiri perjalanan ke sekolah terapung di Tasik Banding, Hulu Perak.

Fadhlina berkata, perjalanan kira-kira satu jam menaiki bot ke kawasan pedalaman itu membuka ruang untuk beliau memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat setempat, khususnya berkaitan akses pendidikan formal.

“Seribu satu pertanyaan bermain di minda. ‘Mengapa perjalanan ini terlalu jauh?’ ‘Bagaimana anak-anak di daerah ini bersekolah?’ Semua persoalan itu terjawab sebaik saya sampai ke Kampung Charuk Bus,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, beliau berpeluang menyantuni masyarakat di situ dan melihat sendiri persiapan awal pagi anak-anak Orang Asli sebelum ke sekolah, selain menyertai perjalanan menaiki bot ke sekolah terapung berdekatan.

Program Sekolah Terapung Tasik Banding merupakan inisiatif KPM bagi menangani isu keciciran pembelajaran dalam kalangan anak-anak Orang Asli dari Kampung Charuk Bus, Kampung Tebang dan Kampung Chiong.

Fadhlina berkata, sebahagian besar kanak-kanak di kawasan terbabit tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, malah terdapat murid berusia 13 tahun yang baru pertama kali mengikuti sesi pembelajaran.

“Menerusi program ini, pendidikan disampaikan secara fleksibel, sesuai dengan konteks geografi serta keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat bermakna dan menjadi cerminan tekad KPM untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat peluang pendidikan yang wajar tanpa mengira lokasi.

“Kami akan kembali ke mari lagi,” katanya, sambil menegaskan usaha berterusan kerajaan dalam memenuhi agenda pendidikan inklusif di bawah kerangka Malaysia Madani.

+ - reset