TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPR catat kehadiran 61.72 peratus pengundi awal PRN Sabah

By
|
Kongsi
image

TAWAU 25 Nov. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan kehadiran seramai 61.72 peratus pengundi awal membabitkan anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 setakat jam 11 pagi tadi.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata perkembangan itu sangat memberangsangkan dan menunjukkan komitmen tinggi kumpulan pengundi awal terhadap proses demokrasi pada PRN kali ini.

Katanya, seramai 24,426 anggota keselamatan dan pasangan masing-masing berdaftar untuk mengundi di 58 pusat pengundian awal bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah.

"Alhamdulillah, peratusan ini sangat tinggi. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang turun awal mengundi. Kita berharap angka ini terus meningkat sehingga pusat mengundi awal ditutup pada 5 petang," katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Berdasarkan trend semasa, Ramlan optimis pengundian awal mampu mencapai sehingga 90 peratus apabila proses ditutup petang ini. Beliau juga menggesa semua pengundi biasa agar turun beramai-ramai pada 29 November ini dengan sasaran keluar mengundi sekurang-kurangnya 70 peratus jika cuaca mengizinkan.

Dalam persediaan menghadapi kemungkinan banjir atau bencana lain, SPR telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) khusus serta bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri. SPR juga memastikan langkah pencegahan bagi mengelak pengundi mengambil gambar kertas undi, termasuk menyediakan tempat khas untuk meletakkan telefon bimbit semasa proses mengundi.

Selain itu, setakat semalam, SPR menerima 472 aduan berkaitan kesalahan kecil pilihan raya seperti pemasangan bahan kempen dan ceramah tanpa permit. Ramlan menegaskan semua aduan dipantau dan tindakan susulan akan diambil.

+ - reset