TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia tak cukup hakim, ada yang urus 800 kes - Ketua Hakim Negara

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 27 Nov – Sistem kehakiman negara kini berdepan tekanan berganda susulan kekurangan hakim serta peningkatan ketara jumlah kes, sekali gus menyebabkan beberapa prosiding mengambil masa lebih panjang untuk diselesaikan.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, keadaan itu sudah mencapai tahap membimbangkan apabila terdapat hakim yang mengendalikan jumlah kes jauh melebihi kapasiti munasabah.

Bercakap kepada media selepas pelancaran Persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, hari ini, beliau mendedahkan seorang hakim di Johor Bahru kini mengendalikan sehingga 800 kes aktif, iaitu lebih tiga kali ganda daripada beban kerja ideal.

"Adalah mustahil daripada segi kemampuan manusia untuk seorang hakim mendengar 800 kes. Beban kerja munasabah sepatutnya sekitar 200 hingga 250 kes.

"Kita tahu apa punca masalah dan sedang menanganinya," katanya.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan berlaku kelewatan ketara, termasuk kes yang berlarutan bertahun-tahun namun masih belum dapat ditamatkan.

Bagi meredakan tekanan terhadap sistem, Wan Ahmad Farid berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sedang meneliti pelantikan tambahan hakim serta pesuruhjaya kehakiman.

Namun, beliau menegaskan penambahan sumber manusia semata-mata bukan penyelesaian mutlak kepada masalah berkenaan.

"Kita tak mahu apa yang kita buat sekarang ini lebih kepada 'firefighting'. Lantik lebih ramai tenaga kerja memang membantu, tetapi ia bukan satu-satunya penyelesaian.

"Kita ada beberapa usaha lain yang sedang berjalan untuk mengurangkan beban kerja, termasuk peluasan mediasi dan kaedah penyelesaian alternatif," katanya.

Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar selama seminggu di Pulau Pinang kali ini merupakan antara langkah menyelesaikan kes lama, walaupun jumlah sebenar kes yang berjaya ditamatkan hanya akan diketahui selepas sesi itu berakhir pada Jumaat ini.

Di Sabah dan Sarawak pula, badan kehakiman merancang memperluas kaedah persidangan secara litar berbanding pendekatan tradisional berpangkalan di Kuching dan Kota Kinabalu.

Antara lokasi baharu yang sedang dipertimbangkan ialah Miri dan Sandakan bagi memastikan perkhidmatan kehakiman dapat diakses oleh masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan untuk hadir ke mahkamah.

"Kita pergi kepada mereka. Inilah yang kita sebut sebagai akses kepada keadilan," katanya.

Dengan gabungan pelantikan hakim baharu, peluasan mediasi, pelaksanaan sesi litar dan usaha menembusi kawasan pedalaman, beliau menegaskan pelbagai inisiatif kini sedang digerakkan bagi menangani tekanan ke atas sistem kehakiman negara.

 

+ - reset