TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

TLDM selamatkan orang awam terkandas akibat tanah runtuh di Pulau Jarak

By
|
Kongsi
image

KUALA KUMPUR 27 Nov – Kesiapsiagaan dan tindakan pantas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi terbukti apabila berjaya melaksanakan operasi menyelamat dalam dua kejadian berasingan membabitkan keselamatan orang awam di perairan utara negara, termasuk insiden tanah runtuh di Pulau Jarak dan kejadian bot karam di Pulau Perak.

Dalam satu kenyataan hari ini, TLDM memaklumkan hujan lebat serta cuaca ekstrem telah mencetuskan kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi di Pulau Jarak sehingga mengancam keselamatan anggota bertugas dan orang awam di pulau berkenaan.

“TLDM menerima laporan mengenai sembilan orang awam yang sedang melaksanakan kerja senggaraan suar terkandas di pulau tersebut.

“Sebuah helikopter Super Lynx diatur gerak bagi melaksanakan pemindahan dari lokasi yang dinilai tidak lagi selamat diduduki.

“Melalui tindakan pantas serta koordinasi rapi, kesemua mangsa terkandas berjaya diselamatkan seterusnya dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan TLDM turut terlibat dalam operasi menyelamat membabitkan insiden bot karam di perairan Pulau Perak, Langkawi yang melibatkan seramai 19 mangsa.

Menurut kenyataan itu, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 pagi semalam selepas menerima laporan sebuah bot karam akibat cuaca buruk.

“Kesemya 19 mangsa ditemui termasuk seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia.

“Mangsa yang terselamat diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan kapal sebelum dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan dua insiden itu, TLDM mengingatkan komuniti maritim supaya lebih berhati-hati sebelum keluar ke laut dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Jelasnya, kapal yang digunakan hendaklah berada dalam keadaan baik dan berkeupayaan beroperasi dengan selamat memandangkan keadaan perairan Selat Melaka yang dilaporkan agak bergelora.

“Tambahan, angin kencang dan hujan lebat mampu meningkatkan risiko ombak tinggi serta penglihatan yang terhad.

“Demi keselamatan, orang ramai dinasihatkan mematuhi amaran cuaca dan mendapatkan maklumat awal dari pihak berkuasa sebelum keluar ke laut,” ujarnya.

+ - reset