TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tidak pernah sekali dia minta apa-apa untuk peribadi atau keluarga' - Anwar puji Hajiji pemimpin bersih

By
|
Kongsi
image

TUARAN 27 Nov– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sambil menyifatkan beliau sebagai pemimpin berprinsip, bersih dan konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengutamakan kepentingan peribadi.

Menurut Anwar, sepanjang hubungan kerja antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah, Hajiji tidak pernah mengemukakan sebarang permintaan peribadi, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada isu rakyat termasuk bekalan air, elektrik, infrastruktur jalan serta kebajikan seluruh daerah di negeri itu.

"Tidak pernah sekali dia minta apa-apa untuk peribadi atau keluarga. Dia beritahu saya siang dan malam. Dia fikir masalah orang Sabah… Datuk Seri jalan, Datuk Seri air sini, Datuk Seri elektrik ini...," katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di perkarangan Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; calon GRS DUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; serta calon GRS DUN Tamparulli, Dr Bonaventure Boniface.

Anwar berkata, pendekatan kepimpinan berteraskan integriti dan keutamaan kepada rakyat itu membuktikan Sabah berada pada landasan kepimpinan yang matang serta stabil, sekali gus memudahkan kerjasama yang lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau turut mengingatkan bahawa politik berpecah yang didominasi terlalu banyak parti kecil atau calon Bebas hanya akan menyukarkan pembentukan kerajaan stabil dan melambatkan penyaluran peruntukan pembangunan kepada rakyat.

Kestabilan hubungan antara kerajaan negeri khususnya Sabah dan Kerajaan Persekutuan, katanya, adalah prasyarat penting bagi memastikan kelangsungan projek pembangunan.

"Kita berdepan dengan terlalu banyak parti, ini bukan perkara main-main kerana kita perlu menjaga negeri. Jika calon Bebas menang, apa yang mereka boleh lakukan dan kepada siapa mereka mahu merujuk? Untuk berurusan dengan Perdana Menteri, ia memerlukan kerjasama yang jelas dan saluran yang betul, barulah keputusan dapat dibuat dengan segera."

Dalam ucapannya, Anwar turut menegur segelintir pihak yang hanya lantang mengkritik, menyerang dan menabur kebencian terutama ketika musim kempen, sedangkan mereka pernah gagal membawa perubahan ketika memegang kuasa.

Beliau berkata, pendekatan politik sedemikian hanya menguntungkan kelompok tertentu, manakala rakyat terus menanggung kesusahan.

"Yang kamu mohon, kami bagi. Apa, mau perang? Mau gaduh? Kamu gaduh, tapi kamu kaya. Gaduh rakyat, rakyat miskin. Sebab itu saya langsung tidak setuju dengan politiknya sebegini. Kamu cakap besar, kamu serang sana, serang sini, fitnah sana, fitnah sini, kamu kaya… rakyat miskin," katanya.

Anwar menambah, ada pihak yang ketika diberi amanah tidak melakukan perubahan bermakna untuk rakyat, namun selepas kehilangan kuasa, mereka tampil seolah-olah paling bersih dan paling layak memimpin.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan perlu dinilai berdasarkan penyampaian sebenar, termasuk pelaksanaan langkah menaikkan gaji penjawat awam selepas 12 tahun, peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, penerusan bantuan Tunai Rahmah, eMadani, subsidi serta pelbagai inisiatif menyokong golongan B40 dan M40.

Menurut Anwar, pencapaian ekonomi dan sosial negara bukan hasil usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada kerjasama berpasukan antara kerajaan negeri dan pusat.

"Pertumbuhan 52 peratus. Tengok kita punya ringgit… seluruh Asia, prestasi ringgit terkuat. Pelaporan dalam sejarah Malaysia tahun ini paling tinggi. Ini bukan kerja satu orang… ini kerja pasukan," katanya.

+ - reset