TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan teliti ganti skim subsidi dengan bantuan sosial melalui MyKad – MoF

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Dis - Kerajaan belum membuat keputusan muktamad untuk menggantikan skim subsidi sedia ada dengan bantuan sosial melalui MyKad, sebaliknya sedang menjalankan penelitian secara menyeluruh terhadap cadangan berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah memastikan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar sebagai asas kepada usaha menyediakan bantuan serta subsidi secara bersasar.

Menurutnya, meskipun kaedah agihan bantuan masih dalam fasa penelitian, pelaksanaan bantuan kerajaan kini sudah beralih kepada sistem digital bersepadu bagi menjamin ketelusan dan keberkesanan.

"Ia membabitkan pengagihan bantuan kerajaan selain proses pembayaran bantuan secara Pindahan Dana Elektronik (EFT) yang membolehkan bantuan kewangan tunai disalurkan terus ke akaun bank penerima.

"Kerajaan komited dalam memantau situasi semasa dan memastikan skim subsidi sedia ada dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran kos sara hidup," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berhubung pertimbangan kementerian untuk menggantikan skim subsidi dengan bantuan sosial berasaskan MyKad, susulan kejayaan mekanisme pengagihan SARA.

Mengulas lanjut, Hui Ying menjelaskan penggunaan MyKad berpotensi membantu kerajaan memantau pelaksanaan bantuan secara lebih berkesan serta memastikan hanya golongan benar-benar layak menerima subsidi.

Katanya, MyKad berfungsi sebagai pengesahan identiti bagi memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada warganegara Malaysia yang menepati syarat kelayakan.

Tambah beliau, peningkatan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA setiap tahun mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

"Pada tahun ini, sebanyak RM13 bilion disediakan kerajaan untuk program STR dan SARA berbanding hanya RM10 bilion pada 2024.

"Bantuan kewangan ini khususnya SARA merupakan mekanisme yang digunakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan bersasar itu memberi kesan limpahan kepada ekonomi, khususnya peniaga kecil dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Katanya, perbelanjaan golongan sasar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mencatat 5.9 peratus pada suku kedua tahun lalu.

"Ia membabitkan gabungan pasaran buruh yang kukuh, kadar pengangguran dan inflasi yang rendah serta bantuan kewangan bersasar telah meningkatkan kuasa membeli isi rumah," katanya.

+ - reset