Berita Berita
Hutang kad kredit rakyat Malaysia cecah RM50.7 bilion, BNPL tarik jutaan rakyat berhutang
KUALA LUMPUR 3 Dis - Hutang kad kredit rakyat Malaysia terus mencatat paras membimbangkan apabila jumlah keseluruhannya mencecah RM50.7 bilion setakat September lalu, mencerminkan tekanan kewangan isi rumah yang kian meruncing seiring peningkatan kos sara hidup dan trend pembelian secara kredit.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah itu, RM551.8 juta merupakan tunggakan yang belum dijelaskan oleh pemegang kad, sekali gus menunjukkan tahap risiko kredit yang semakin ketara dalam kalangan pengguna.
Menurut beliau, peningkatan mendadak pembelian dalam talian menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pertambahan hutang, dengan penggunaan kad kredit dan skim Buy Now Pay Later (BNPL) semakin meluas dalam urus niaga e-dagang.
“Kad kredit dan kad caj masih menjadi instrumen pembiayaan pengguna yang paling banyak digunakan, terutama untuk pembelian dalam talian,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Lim turut mendedahkan jumlah hutang melalui skim BNPL kini mencecah RM4.2 bilion dengan tujuh juta akaun aktif direkodkan di seluruh negara, mencerminkan pergantungan tinggi pengguna kepada kemudahan bayaran tertangguh.
Katanya lagi, sebanyak RM147.7 juta atau 3.5 peratus daripada jumlah hutang BNPL merupakan bayaran tertunggak, membabitkan 185,465 pemegang akaun yang gagal melunaskan bayaran mengikut jadual.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah proaktif melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 yang dijadual berkuat kuasa hujung tahun ini bagi mengawal selia syarikat penyedia BNPL.
“Akta ini akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia BNPL untuk menilai keupayaan kewangan pengguna sebelum kelulusan diberikan,” katanya.
Beliau menjelaskan langkah tersebut penting bagi mengekang pengguna daripada terjerat dengan komitmen kewangan yang melebihi kemampuan, yang bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah berpotensi menggugat kestabilan ekonomi negara.
Kerajaan, kata beliau, kekal komited untuk memantau tahap hutang isi rumah dan pada masa sama memastikan rakyat terus dilindungi melalui mekanisme kawal selia yang lebih kukuh dalam sektor pembiayaan pengguna.
Berita berkaitan
December 3, 2025, 6:45 pm
Polis nafi tahanan ‘Op Songsang’ lebih 24 jam, tegas layan semua sama rata
December 3, 2025, 4:36 pm
Tengku Zafrul dilantik Pengerusi MIDA bagi tempoh dua tahun
December 3, 2025, 4:26 pm
Rafizi petik nama Nurul Izzah, Anthony Loke desak kerajaan jangan sambung kontrak Azam Baki
December 3, 2025, 4:07 pm
Hanya orang Kelantan dibenarkan dulang emas, lesen dibuka Januari
December 3, 2025, 2:19 pm
'Ada bukti CCTV, kamera badan' - SPRM nafi berlaku salah laku ketika tahan Albert Tei
December 3, 2025, 2:03 pm
Shamsul Iskandar, Albert Tei didakwa di mahkamah kes rasuah esok
December 3, 2025, 1:29 pm
Suspek buat ancaman bom palsu di KLIA dicekup, pesawat dibenar berlepas selepas pemeriksaan keselamatan
December 3, 2025, 11:46 am
Kerajaan teliti ganti skim subsidi dengan bantuan sosial melalui MyKad – MoF
December 3, 2025, 10:25 am
