TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi petik nama Nurul Izzah, Anthony Loke desak kerajaan jangan sambung kontrak Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 3 Dis - Pakatan Harapan (PH) digesa segera mengambil langkah konkrit bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen membanteras rasuah susulan prestasi mengecewakan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, langkah paling jelas ketika ini adalah dengan tidak menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

"Salah satu faktor utama yang mempengaruhi keputusan pengundi ialah rasa kecewa terhadap prestasi reformasi dan pembaharuan kerajaan, khususnya berkaitan usaha membersihkan negara daripada amalan rasuah," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurut Rafizi, isu mengenai kontrak Azam turut dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, sama ada ia akan disambung untuk penggal keempat atau sebaliknya.

"Bagaimanapun, jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu adalah kabur," katanya.

Beliau menegaskan, apa jua keputusan Perdana Menteri dalam hal berkenaan akan memberi kesan langsung terhadap penilaian rakyat ke atas keikhlasan kerajaan dalam memerangi rasuah.

"Bukan untuk dua kali. Bukan tiga kali. Tetapi empat kali. Jika kontrak itu disambung lagi, keputusan itu akan terus mencemarkan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.

“Dengan pelbagai kontroversi yang membabitkan nama beliau (Azam), sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, tekanan supaya kontrak tersebut tidak disambung tidak akan memberikan kesan besar sekiranya hanya disuarakan olehnya seorang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Nurul Izzah Anwar serta kepemimpinan DAP, termasuk Anthony Loke, turut bersuara secara terbuka sebagai isyarat kesepaduan perjuangan melawan rasuah dalam PH.

"Lebih baik jika Nurul Izzah juga mendesak secara terbuka. Lebih baik lagi jika Anthony Loke dan DAP juga berbuat demikian," katanya.

Rafizi berkata, kekuatan utama PH sebelum ini adalah harapan tinggi rakyat terhadap pembinaan sistem negara yang bebas daripada rasuah.

"Ini kehendak utama pengundi-pengundi PH yang rata-ratanya daripada golongan kelas menengah,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa beliau sudah lama memberi peringatan kepada Perdana Menteri berdasarkan data kaji selidik yang menunjukkan tahap kebimbangan rakyat terhadap usaha pembanterasan rasuah terus meningkat sejak tahun lalu.

"Persepsi ini disahkan oleh statistik kes-kes rasuah yang berakhir dengan hukuman. Peratusan yang dituduh berbanding kertas siasatan yang dibuka menurun daripada 56 peratus pada tahun 2020 kepada 39 peratus tahun lalu.

“Sabitan bersalah juga menurun, daripada 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan yang berakhir dengan sabitan pada 2021, kepada hanya 256 sabitan atau 22 peratus pada tahun 2024,” katanya.

Beliau menambah bahawa beberapa kes berprofil tinggi berakhir dengan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), digugurkan, atau tertuduh dilepaskan selepas membayar kompaun, sekali gus menjejaskan persepsi rakyat terhadap keberkesanan institusi penguatkuasaan negara.

+ - reset