TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Shamsul Iskandar, Albert Tei didakwa di mahkamah kes rasuah esok

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 3 Dis - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan seorang ahli perniagaan, Albert Tei, akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan kes rasuah membabitkan mereka selesai sepenuhnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua individu itu akan berdepan lima pertuduhan setiap seorang membabitkan dua mahkamah berasingan, iaitu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

"Saya ingin memaklumkan siasatan sudah lengkap dan SPRM mendapat arahan untuk mendakwa Albert Tei dan Datuk Seri Shamsul Iskandar.

"Kedua-duanya akan dituduh dengan masing-masing lima pertuduhan dengan Albert Tei mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009, manakala Shamsul Iskandar mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

"Empat pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Kuala Lumpur esok, manakala satu lagi akan dibuat di Mahkamah Shah Alam, dijangka Jumaat ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azam berkata, seorang lagi individu, Sofia Rini Buyong, yang turut ditahan sebelum ini dan dibebaskan dengan jaminan SPRM, tidak akan didakwa sebaliknya akan dijadikan saksi bagi membantu siasatan.

Katanya, seramai 32 saksi sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan dalam siasatan kes berkenaan, dan kesemua mereka akan dimaklumkan sekiranya dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

"SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan segera hasil laporan sebuah portal media dan kertas siasatan dibuka pada 26 November lalu kerana kes ini dikategorikan sebagai kes berkepentingan awam.

"Kes ini membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dan mendapat liputan meluas daripada semua pihak sama ada di dalam negara serta mungkin di luar negara," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga individu termasuk Shamsul Iskandar ditahan SPRM pada Jumaat lalu, selain Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing dan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong.

Susulan penahanan itu, Shamsul Iskandar dan Tei masing-masing direman selama enam hari, manakala Sofia Rini direman selama empat hari.

Azam turut mengesahkan bahawa Tei dikenal pasti sebagai individu utama dalam siasatan kes terbabit.

Katanya, SPRM juga telah mengeluarkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah terhadap Tei, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa menyiasat untuk menyekat hak individu disiasat daripada berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain.

+ - reset