Berita Berita
Reezal Merican seru semua pihak tidak beri tekanan berlebihan isu UEC
KEPALA BATAS 17 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru semua pihak supaya tidak terlalu mendesak atau memberi tekanan berlebihan berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Sebaliknya, beliau berkata, usaha seharusnya difokuskan kepada pengharmonian sistem pendidikan arus perdana yang terbukti berupaya melahirkan pemimpin berkualiti daripada pelbagai kaum.
Menurutnya, Malaysia sejak awal dibina melalui semangat rundingan dan perundingan, justeru pendekatan itu wajar terus dijadikan panduan dalam wacana nasional.
“Kita kini berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka tidak wajar untuk menekan Perdana Menteri dengan desakan-desakan yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Perbezaan pandangan masih boleh disuarakan, namun semua pihak digesa berbuat demikian secara beradab dan berhemah,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Graduasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal di sini, pada Selasa.
Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu berkenaan adalah jelas serta selaras dengan prinsip dan dasar yang telah lama diguna pakai.
Beliau berkata, apa yang diperlukan negara ketika ini ialah mencari titik persamaan serta membina persefahaman bersama demi kepentingan semua pihak.
“Bukti sudah ada. Anthony Loke, Steven Sim, Hannah Yeoh dan Howard Lee bukan produk UEC, namun mereka mampu muncul sebagai pemimpin yang baik.
“Begitu juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang melalui pelbagai institusi pendidikan tempatan,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan tokoh-tokoh berkenaan membuktikan bahawa sistem pendidikan arus perdana mampu melahirkan pemimpin berkualiti sekiranya diharmonikan dengan baik.
“Kalau sistem ini boleh melahirkan pemimpin seperti mereka, mengapa kita tidak boleh melahirkan ribuan lagi pemimpin seumpamanya?
“Tiada kegagalan sebenarnya, yang perlu ialah keharmonian,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Anwar berkata, tuntutan pengiktirafan UEC hanya menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa, sedangkan kerajaan berpegang kepada prinsip asas negara yang melibatkan kepentingan semua rakyat.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan dan menjunjung prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan status bahasa Melayu, selain memperkasakan penggunaannya sebagai bahasa ilmu yang boleh diakses oleh seluruh rakyat.
Berita berkaitan
December 17, 2025, 1:52 pm
Warga emas OKU ditemui terapung dalam tali air, jatuh kerusi roda di Bagan Datuk
December 17, 2025, 1:06 pm
Kanak-kanak maut dilanggar MPV ketika melintas jalan di Alor Gajah
December 17, 2025, 1:03 pm
Kes dua remaja berbasikal lajak hampir maut di Putra Heights diklasifikasikan NFA
December 17, 2025, 12:58 pm
Ketua Polis Melaka tegas kenyataan kes tembak Durian Tunggal berasaskan fakta
December 17, 2025, 12:31 pm
Digugur dari kabinet, Mohd Naim mahu berehat, tunai umrah
December 17, 2025, 11:42 am
Lelaki dipercayai mengamuk tikam nenek hingga maut, moyang parah di Kuala Ketil
December 17, 2025, 11:22 am
Puad Zarkashi gesa tetapkan KPI menteri, beri tempoh 100 hari
December 17, 2025, 11:09 am
Tujuh Menteri angkat sumpah jawatan susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani
December 17, 2025, 10:08 am
