TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes dua remaja berbasikal lajak hampir maut di Putra Heights diklasifikasikan NFA

By
|
Kongsi
image

SUBANG JAYA 17 Dis – Kes membabitkan dua remaja yang didakwa menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights pada 4 Disember lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kes diklasifikasikan sebagai NFA kerana kedua-dua remaja terbabit masih di bawah umur.

“Selain itu, kejadian berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan tiada saksi bebas yang dapat mengesahkan insiden tersebut,” katanya pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak polis telah memberikan nasihat serta amaran kepada remaja terbabit supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap pergerakan dan aktiviti sosial anak-anak, khususnya yang melibatkan risiko keselamatan.

“Ibu bapa disaran mendapatkan bantuan serta nasihat pihak berkuasa sekiranya berdepan kesukaran mengawal tingkah laku anak-anak,” katanya.

Menurut beliau, tindakan terhadap ibu bapa turut boleh diambil sekiranya terdapat unsur pengabaian dan kesalahan dilakukan oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Sebelum ini, media melaporkan dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan selepas satu video tular di media sosial memaparkan mereka menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir melanggar sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Kedua-dua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 6 Disember lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan keesokan harinya selepas keterangan mereka diambil.

+ - reset