TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketua Polis Melaka tegas kenyataan kes tembak Durian Tunggal berasaskan fakta

By
|
Kongsi
image

MELAKA 17 Dis – Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar menegaskan bahawa setiap kenyataan yang dikeluarkan pihaknya berhubung kes tembak tiga suspek di Durian Tunggal adalah berasaskan fakta dan bukan dibuat sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, penjelasan mengenai status wanita yang mendakwa sebagai isteri kepada salah seorang suspek dibuat susulan penularan dakwaan di media sosial bahawa wanita berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah.

“Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini sebagai Ketua Polis Negeri kerana menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan maklumat yang tular di media sosial,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pada Rabu.

Menurutnya, terdapat perbezaan jelas antara individu yang dipanggil untuk memberi keterangan dengan individu yang ditangkap dalam sesuatu kes.

“Jika seseorang hanya dipanggil untuk memberi keterangan, ia tidak direkodkan sebagai rekod jenayah. Namun sekiranya berlaku tangkapan, rekod tangkapan itu memang akan direkodkan.

“Dalam kes ini, memang terdapat 10 rekod tangkapan terhadap individu berkenaan,” katanya.

Dzulkhairi menegaskan pihak polis tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat cubaan mengelirukan masyarakat melalui kenyataan yang bercanggah dengan fakta sebenar.

“Jika dia merasakan kenyataan saya itu salah atau bertujuan mengganggu siasatan, dia boleh mengambil tindakan undang-undang dan menyaman saya.

“Jangan sekadar membuat dakwaan tanpa asas serta cuba mengelirukan masyarakat dengan maklumat yang tidak benar atau bercanggah,” tegasnya.

Jumaat lalu, Dzulkhairi mendedahkan bahawa wanita yang mendakwa suaminya adalah salah seorang daripada tiga suspek yang ditembak mati dalam insiden di Durian Tunggal pada November lalu sebenarnya bukan isteri lelaki berkenaan, sebaliknya hanya pasangan kekasih yang tinggal bersama.

Beliau berkata, siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu bukan sahaja tidak mempunyai hubungan perkahwinan dengan suspek, malah memiliki 10 rekod jenayah lampau sejak 2012.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki berkenaan menegaskan bahawa status perkahwinan atau rekod jenayah lampau individu yang dikaitkan dengan kes tersebut tidak relevan dengan kejadian sebenar.

Peguam berkenaan, Rajesh Nagaraja berkata, pendedahan yang dibuat Ketua Polis Melaka itu disifatkan sebagai cubaan mengalih perhatian daripada isu utama kes berkenaan.

+ - reset