TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas OKU ditemui terapung dalam tali air, jatuh kerusi roda di Bagan Datuk

By
|
Kongsi
image

BAGAN DATUK 17 Dis - Seorang warga emas kurang upaya (OKU) ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari kerusi roda ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baroh, Selekoh di sini pada Rabu.

Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.52 pagi melibatkan seorang lelaki berusia 77 tahun.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, kerusi roda milik mangsa ditemui berada di tepi tali air menimbulkan syak bahawa mangsa telah terjatuh ke dalam saliran berkenaan.

"Operasi pencarian yang dijalankan berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang, kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ketua operasi kemudiannya mengarahkan anggota menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari dalam air.

Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi selepas keadaan disahkan terkawal.

+ - reset