TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Marhamah Rosli tegaskan tiada penyalahgunaan dana tabung Justice for Zara

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Dis – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan tiada dana disalahguna dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara yang digunakan bagi menampung kos proses inkues.

Sebagai aktivis yang memulakan gerakan Justice for Zara, beliau berkata akaun tabung itu diasingkan sepenuhnya dan tidak dicampur dengan akaun lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah dipengerusikannya.

“Tabung ini mempunyai penama tersendiri yang melibatkan ibu Mahathir, beberapa peguam serta jawatankuasa NGO. Setakat 9 pagi hari ini, jumlah kutipan tabung ialah RM254,995.92 dengan baki RM96,059.97 selepas menolak perbelanjaan termasuk kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina sepanjang persiapan dan perjalanan inkues,” katanya.

Beliau menjelaskan, kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina ditanggung menggunakan tabung bagi memastikan proses inkues berjalan lancar.

Marhamah berkata demikian selepas selesai mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini.

Menurutnya, kutipan dana itu mendapat permit daripada Jabatan Ketua Menteri dan telah dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, selain laporan lengkap sehingga November 2025 telah disediakan.

“Kami bersedia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk diaudit,” katanya sambil menambah baki dana sedia ada dijangka tidak mencukupi memandangkan proses inkues masih berjalan.

Beliau antara individu terawal yang memberi sokongan kepada Noraidah, ibu kepada Zara Qairina, selepas pelajar sekolah menengah agama di Papar itu disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Mengulas pendiriannya berhubung tuntutan keadilan kes Zara Qairina, Marhamah menegaskan semua pihak perlu memberi ruang kepada proses inkues yang sedang berjalan sambil mengekalkan sokongan terhadap keluarga pelajar tersebut meskipun kini memegang jawatan dalam kerajaan.

“Saya sebagai ibu kepada enam anak dan ahli masyarakat sentiasa ingin berjuang dalam soal penindasan, bukan hanya dalam kes Justice for Zara tetapi juga perkara lain,” katanya.

Mengenai dakwaan tular di media sosial bahawa beliau terlibat dengan penipuan emas, Marhamah menafikan perkara itu dan sebaliknya memaklumkan dirinya turut menjadi mangsa penipuan dalam kes berkenaan.

“Saya bukan ejen. Setiap kali dipanggil, kami membuat laporan dan saya sentiasa memberi kerjasama penuh,” kata aktivis dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan itu.

+ - reset