TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sentimen rakyat susulan rombakan Kabinet perlu ditangani bijaksana - Asyraf Wajdi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Dis – Sentimen rakyat yang berlegar di media sosial susulan rombakan Kabinet pada Selasa tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara berhemah, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, antara sentimen yang dibangkitkan termasuk persoalan mengenai pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan kaum Cina.

“Sentimen rakyat dalam kalangan netizen mengenai rombakan Kabinet. Kenapa Menteri Wilayah Persekutuan dilantik daripada seorang berbangsa Cina (DAP) dan Timbalan Menteri juga daripada seorang berbangsa Cina (GRS)?

“Apakah nasib Bumiputera bandar? Apakah ini permulaan kepada Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan?” katanya melalui hantaran di Facebook pada Rabu.

Tambahnya, sentimen lain turut membangkitkan pelantikan Timbalan Menteri Agama yang dikaitkan dengan beberapa isu kontroversi termasuk kes Zara, dakwaan berkaitan hutang scam emas RM14 juta serta amalan doa dan ibadah.

Beliau turut menekankan persoalan mengenai pelantikan seorang aktivis PKR sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang sebelum ini lantang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN), sama ada pelantikan itu mampu merealisasikan agenda tersebut.

“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen yang kuat berlegar di ruang media sosial sejak pengumuman semalam. Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkongsi fakta mengenai komposisi kaum dan parti-parti gabungan dalam rombakan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dari segi komposisi kaum, kalangan menteri yang dilantik terdiri daripada 17 orang Melayu, 5 orang Cina, dan 2 orang India, manakala Bumiputera Sarawak dan Sabah masing-masing seramai lima dan tiga orang.

Bagi lantikan timbalan menteri pula, komposisinya merekodkan 10 orang Melayu, 5 orang Cina, 2 orang India, 7 orang Bumiputera Sarawak dan 6 orang Bumiputera Sabah.

Dari segi komposisi parti-parti gabungan pula, seramai 9 menteri dilantik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), 5 daripada DAP, 2 daripada Amanah, 8 daripada Barisan Nasional (BN), 5 daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

+ - reset