TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kritikan UMNO terhadap keputusan mahkamah berbaur tekanan politik – Norman

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Dis – Desakan dan kritikan pemimpin UMNO susulan keputusan mahkamah berkaitan kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan bukan sahaja pelik, malah berunsur cubaan menekan sistem kehakiman.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera, Norman Daud berkata, meskipun memahami kekecewaan sesetengah pihak, keputusan mahkamah dibuat berasaskan fakta dan undang-undang, bukannya kehendak atau tekanan politik.

Menurutnya, dalam sebuah demokrasi yang matang, kerajaan mahupun parti politik tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan kehakiman.

“Desakan dan tekanan oleh pemimpin UMNO ini menghantar mesej seolah-olah ada pihak yang mahu mahkamah tunduk kepada kehendak politik, bukan berdiri atas fakta dan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Norman menegaskan, prinsip pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen jelas menetapkan bahawa cabang eksekutif tidak sepatutnya mencampuri urusan kehakiman.

“Mahkamah bukan alat politik untuk ditekan, diarahkan atau dibeli. Ia adalah benteng terakhir untuk memastikan undang-undang ditegakkan tanpa pilih kasih, tanpa mengira siapa yang menang atau kalah.

“Jika prinsip ini diganggu, keseluruhan sistem demokrasi akan menjadi rapuh dan akhirnya rakyat yang akan menanggung kerugian,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa campur tangan politik dalam sistem kehakiman boleh membawa kesan serius dan berpanjangan, termasuk hilangnya kepercayaan rakyat terhadap institusi mahkamah.

Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan rakyat mula meragui setiap keputusan mahkamah walaupun ia dibuat berdasarkan undang-undang, selain menghakis sistem demokrasi apabila mahkamah gagal berperanan sebagai pengimbang kuasa kerajaan.

“Undang-undang berisiko menjadi alat politik, bukannya alat keadilan, sekali gus membuka ruang kepada ketidakstabilan sosial, peningkatan konflik serta ketegangan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Norman menggesa agar suara kekecewaan tidak digunakan sehingga menjejaskan integriti dan kebebasan institusi kehakiman.

“Sekali mahkamah kehilangan kebebasannya, seluruh keadilan negara akan terancam,” katanya.

Beliau menegaskan, budaya tekanan terhadap mahkamah perlu dihapuskan meskipun ia mungkin pernah berlaku sebelum ini, dengan keluhuran Perlembagaan dan undang-undang wajar diangkat demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

+ - reset