TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Belanjawan Negeri 2026: Lapan negeri sokong simpan SSPN, PTPTN hargai komitmen pendidikan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Dis – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyifatkan sokongan lapan kerajaan negeri terhadap inisiatif Simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pendidikan negara.

PTPTN dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Johor, Selangor, Sarawak, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah yang menyatakan komitmen tersebut menerusi pembentangan Belanjawan Negeri 2026 masing-masing.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya melihat pengumuman berkenaan sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan negeri yang memberi penekanan serius terhadap pembangunan modal insan melalui pendidikan.

Menurut beliau, kepelbagaian inisiatif yang diumumkan jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem pendidikan secara inklusif dan mampan.

"Saya yakin melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan PTPTN, lebih ramai pelajar akan mendapat manfaat, sekali gus melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing untuk masa depan negara.

"PTPTN turut menghargai komitmen kerajaan negeri yang mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan insentif berkaitan Simpan SSPN dan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi serta meringankan beban kewangan pelajar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru lebih banyak kerajaan negeri dan agensi berkaitan agar menjadikan Simpan SSPN sebagai medium utama dalam penyaluran insentif pendidikan serta pelaksanaan program kebajikan rakyat.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat PTPTN, Belanjawan Kerajaan Negeri Johor 2026 memperuntukkan RM24.6 juta menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) atau BKJ Anak Yatim Negeri Johor.

Peruntukan itu disalurkan dalam bentuk bantuan tunai dan Simpan SSPN sebanyak RM2,000 seorang, yang dijangka memberi manfaat kepada 12,307 anak yatim di negeri tersebut.

Di Selangor, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM3 juta bagi Program Iltizam Anak Selangor (ANAS), yang diteruskan dengan pemberian RM100 setahun kepada 30,000 anak kelahiran negeri itu untuk tempoh lima tahun bagi permohonan yang diluluskan.

Sarawak pula memperuntukkan RM15 juta bagi Program Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak menerusi belanjawan negeri yang diumumkan pada 24 November lalu.

Bagi Negeri Sembilan, Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan RM1.6 juta kepada kelahiran bayi baharu melalui insentif RM100 dalam akaun Simpan SSPN.

Kerajaan Negeri Perak pula memperuntukkan RM1 juta bagi Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN), dengan pemberian RM200 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada anak kelahiran Perak berusia bawah 13 tahun.

Belanjawan Negeri Melaka 2026 yang dibentangkan pada 5 Disember lalu memperuntukkan RM200,000 bagi pelaksanaan Program MeSRa Bayi, yang menawarkan insentif RM50 kepada kelahiran bayi baharu Anak Melaka melalui akaun Simpan SSPN Prime.

Selain itu, bayi yang lahir pada hari pembentangan belanjawan akan menerima insentif khas RM150 seorang.

Di Pahang, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM6.5 juta bagi Program Permata Makmur serta RM7 juta bagi bantuan pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN Ijazah Pertama kepada anak Pahang yang baru mula bekerja bermula 2025.

Sementara itu, Belanjawan Negeri Sabah 2026 meneruskan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan sedia ada, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara ‘one-off’ (Budi), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti) serta Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (Bistari).

Simpanan melalui Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan, antaranya pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma bagi simpanan RM1,000 ke atas, serta Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak.

Selain itu, Simpan SSPN turut menawarkan kadar dividen kompetitif, patuh syariah dan jaminan simpanan oleh kerajaan. - Media Telus

+ - reset