TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah arah Malindo Airways bayar RM1.44 juta kepad tiga bekas juruterbang

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Dis – Tiga bekas juruterbang Malindo Airways Sdn Bhd berjaya menuntut keadilan apabila Mahkamah Perusahaan memerintahkan syarikat penerbangan itu membayar pampasan keseluruhan RM1.44 juta selepas mendapati penamatan perkhidmatan mereka dibuat tanpa alasan sah.

Keputusan itu dibuat oleh Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Zalina Awang@Mamat, selepas mahkamah mendapati Malindo Airways gagal membuktikan bahawa pemberhentian ketiga-tiga juruterbang berkenaan dilakukan secara bona fide atau dengan niat baik.

Tiga individu terbabit ialah juruterbang perintis M Muralitharan, Penolong Juruterbang Nik Afiq Farhan Nik Mohd Hilmi dan Kapten Foong Wai Ming.

Muralitharan dan Wai Ming masing-masing berkhidmat selama tujuh tahun, manakala Nik Afiq mula bekerja dengan syarikat itu pada 2015 sebelum ketiga-tiga mereka ditamatkan perkhidmatan pada 1 November 2020.

Mahkamah memerintahkan Malindo Airways membayar pampasan sebanyak RM596,000 masing-masing kepada Muralitharan dan Wai Ming, manakala Nik Afiq menerima pampasan berjumlah RM252,000.

Zalina turut mengarahkan bayaran pampasan tersebut diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penghakiman, dengan faedah lapan peratus setahun dikenakan selepas tempoh itu sehingga bayaran dibuat sepenuhnya.

Dalam penghakimannya, Zalina berkata mahkamah mendapati Malindo Airways bertindak menamatkan perkhidmatan ketiga-tiga juruterbang berkenaan tanpa mengemukakan bukti mencukupi, walaupun syarikat mendakwa menghadapi masalah kewangan akibat pandemik COVID-19.

Beliau memutuskan bahawa pemulihan jawatan tidak sesuai memandangkan hubungan antara penuntut dan syarikat telah menjadi tegang, sekali gus menjadikan pemberian pampasan sebagai remedi yang wajar.

Zalina berkata syarikat gagal membuktikan bahawa penamatan perkhidmatan itu dibuat dengan sebab atau alasan yang sah seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Dalam keadaan kemerosotan ekonomi secara umum, syarikat memang berhak untuk melakukan pemberhentian kerja, namun ia mesti dilaksanakan secara adil.

"Hujahan syarikat mengenai penutupan operasi adalah tidak meyakinkan memandangkan operasi masih diteruskan, dividen masih dibayar dan infrastruktur perniagaan masih kekal selepas tarikh penamatan perkhidmatan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun majikan mempunyai perogatif untuk menyusun semula tenaga kerja ketika pandemik, hak tersebut tidak bersifat mutlak dan tertakluk kepada Undang-Undang Buruh.

Menurutnya, mahkamah juga mendapati pemberhentian itu tidak disertai penjelasan munasabah mengenai pemilihan pekerja serta gagal mematuhi prosedur yang sepatutnya.

Katanya, prinsip Last-In-First-Out (LIFO) tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya tanpa justifikasi kukuh, walaupun dalam situasi luar biasa seperti pandemik.

"Mahkamah juga mengambil kira isu ketiadaan rundingan, pemberian tempoh notis yang singkat dan kegagalan majikan mengemukakan bukti lengkap bagi menyokong dakwaan lebihan pekerja.

"Sehubungan itu, mahkamah memutuskan penamatan perkhidmatan ketiga-tiga pihak penuntut adalah tidak sah, sekali gus membenarkan tuntutan yang dikemukakan terhadap Malindo Airways," katanya.

Zalina turut mengarahkan Malindo Airways membayar pampasan kewangan termasuk pampasan ganti kerja semula dan bayaran berkaitan sebagai remedi terhadap penamatan perkhidmatan yang didapati tidak sah.

Nik Afiq diwakili peguam Mohd Syahril Daud, Muralitharan diwakili Hema Kumar Nageswana Row, manakala Wai Ming diwakili Nur Zur'ain Mat Ramlee. Malindo Airways pula diwakili peguam Jeyandran Ramachandran.

 

+ - reset