Berita Berita
'Sebagai membalas setiap jasa beliau...' - Pemimpin UMNO Pahang tawar ganti Najib jalani hukuman penjara
KUALA LUMPUR 24 Dis – Seorang pemimpin akar umbi UMNO Pahang tampil dengan tawaran luar biasa apabila sanggup menjalani hukuman penjara bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak susulan keputusan mahkamah menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Tawaran itu dibuat oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim, kira-kira 24 jam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib.
Menurut Muhammad Faiz, tawaran berkenaan dibuat atas dasar menghargai jasa Najib yang disifatkannya banyak menyumbang kepada pembangunan negara sepanjang memegang jawatan sebagai perdana menteri.
“Jika kerajaan pada hari ini masih kekal inginkan Najib menjalani baki tahanan di penjara, memandangkan Najib adalah seorang pemimpin dan bekas perdana menteri yang banyak jasa kepada negara, sebagai membalas setiap jasanya yang tidak terhingga, saya Muhammad Faiz sanggup menggantikan beliau di penjara, asalkan Najib dibebaskan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau turut berhujah bahawa Najib wajar dibebaskan susulan kewujudan titah Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menurutnya menunjukkan sokongan terhadap bekas perdana menteri itu.
“Walaupun tidak boleh melangkaui keputusan mahkamah, tetapi setidaknya titah adendum diraja ini adalah simbolik sokongan penuh kepada Najib,” katanya.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Hakim Datuk Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa titah adendum Yang di-Pertuan Agong berhubung penahanan di rumah bukan merupakan perintah sah yang dibuat dalam pelaksanaan prerogatif pengampunan.
Mahkamah turut memutuskan bahawa perintah tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang di Malaysia yang menyediakan mekanisme sedemikian.
Permohonan Najib bagi menjalani tahanan rumah difailkan pada 1 April 2024 menerusi semakan kehakiman, susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berita berkaitan
December 24, 2025, 11:06 pm
Lebih 1,000 tetamu bertempiaran selamatkan diri, dewan hotel terbakar ketika majlis makan malam di Melaka
December 24, 2025, 8:34 pm
Mahkamah arah Malindo Airways bayar RM1.44 juta kepad tiga bekas juruterbang
December 24, 2025, 6:46 pm
Selangor negeri paling tinggi kos kehidupan wajar, Pantai Timur antara terendah - DOSM
December 24, 2025, 6:36 pm
Harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi turun bermula esok
December 24, 2025, 6:21 pm
Warga asing di Malaysia dianggarkan seramai 3.38 juta pada 2025
December 24, 2025, 2:03 pm
Trafik perlahan di lebuh raya utama susulan cuti sekolah, sambutan Krismas
December 24, 2025, 1:56 pm
JAKIM panggil individu Islam hadiri upacara di gereja
December 24, 2025, 1:52 pm
JKM nafi keluarkan kad warga emas rasmi Malaysia
December 24, 2025, 1:46 pm
